Meor Riduwan Meor Ahmad dan Azahar Hashim


POLIS memburu lima lelaki yang merusuh dan memukul seorang remaja hingga cedera di kepala dan dahi menggunakan kerusi dan meja di sebuah medan selera di Kulim, tengah malam, semalam.

Video 58 saat kejadian itu tular di media sosial memaparkan beberapa lelaki merusuh dengan membaling kerusi dan meja serta memukul mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima laporan pada 3.57 petang, hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa (pengadu) berusia 21 tahun sedang minum bersama beberapa rakannya apabila lima lelaki tidak dikenali datang dan memukulnya menggunakan kerusi dan meja.

“Siasatan mendapati punca kejadian suspek tidak puas hati kerana dipandang pengadu.

“Akibat kejadian itu pengadu yang luka di kepala dan dahi, terpaksa mendapat 13 jahitan di Hospital Kulim.

"Pengadu juga mendakwa kehilangan dokumen pengenalan, termasuk kad pengenalan, lesen memandu, tiga kad ATM dan wang tunai RM50," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, polis sudah mengenal pasti dua daripada lima suspek berusia 20-an itu.

“Sehubungan itu, polis meminta semua suspek terbabit menyerah diri dengan segera.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata, polis juga mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 11:23 PM
Petikan rakaman video pergaduhan di sebuah medan selera di Kulim, Kedah.
Petikan rakaman video pergaduhan di sebuah medan selera di Kulim, Kedah.