Mahaizura Abd Malik

Banting: Selepas dua bulan, tanaman hidroponik rock melon projek pertanian pertama Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) dengan kerjasama Agrobank di sini, mula mengeluarkan hasil dan bakal dipasarkan.

Kebun rock melon milik Madrasah Tahfiz Raudhatul Baiduri yang terletak di Jalan Dengkil Kampung Bukit Changgang di sini, mula ditanam menggunakan teknologi hidroponik November lalu.

Pengurus Madrasah Tahfiz Raudhatul Baiduri, Mohd Izaha Ismail berkata, dengan kerjasama Agrobank dan TKHM, mereka mampu mengembangkan lagi pendapatan tambahan di samping projek lain termasuk pertanian ikan air tawar serta tanaman halia yang diusahakan sejak 10 tahun lalu.

"Sebelum ini kami mulakan projek tanaman halia dan rock melon secara fertigasi, namun dengan menggunakan kaedah hidroponik ini, kami mendapat banyak penjimatan dari segi penggunaan air, baja tenaga dalam penanaman rock melon.

"Alhamdulillah, selepas 55 hari projek ini dimulakan November lalu, inilah hasilnya dan kita jangkakan mengeluarkan hasil pertama sebanyak 500 kilogram daripada 700 pokok.

"Kita juga akan pasarkan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Pasar Borong Selangor dan jualan petik sendiri di kebun ini secara tempahan kepada pelanggan tetap.

"Saya juga berterima kasih kepada Harian Metro dan Agrobank mewujudkan inisiatif ini kerana apabila kita membuka rumah kebajikan memang ia memerlukan dana banyak, jadi perlu cari alternatif seperti ini untuk meneruskan kelangsungan tanpa bergantung kepada bantuan pihak lain," katanya selepas Lawatan TKHM bersama Agrobank di tapak kebun madrasah berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar; Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM, Husain Jahit serta Pengarang Berita Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz.

Mohd Izaha Ismail memetik buah Rock Melon yang ranum sambil diperhatikan Husain Jahit (dua dari kiri) dan Timbalan Presiden dan Khadijah Iskandar (kanan) di Kebun projek tanaman hidroponik Rock Melon milik Madrasah Tahfiz Raudhatul Baiduri, Bukit Changgang. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Mohd Izaha Ismail memetik buah Rock Melon yang ranum sambil diperhatikan Husain Jahit (dua dari kiri) dan Timbalan Presiden dan Khadijah Iskandar (kanan) di Kebun projek tanaman hidroponik Rock Melon milik Madrasah Tahfiz Raudhatul Baiduri, Bukit Changgang. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL

Sementara itu, Khadijah berkata, kerjasama seumpama itu sesuai dengan mandat penubuhan Agrobank untuk membantu pihak rumah kebajikan dan madrasah menjana pendapatan untuk jangka masa panjang menerusi sektor pertanian.

"Inisiatif bersama Harian Metro ini kita peruntukan RM120,000 kepada enam rumah kebajikan yang dikenal pasti menerusi TKHM di seluruh negara untuk membantu kelangsungan mereka dalam tempoh panjang.

"Menerusi projek ini, bukan saja kita membantu mereka membeli benih, baja dan peralatan teknologi pertanian (hidroponik), malah kita menawarkan khidmat konsultasi supaya mereka dibimbing daripada mula menanam hingga mengeluarkan hasil yang konsisten seterusnya dapat menjana pendapatan mereka sendiri," katanya.

Husain pula berkata, projek berkenaan contoh terbaik untuk membantu rumah kebajikan dan pusat tahfiz terutama yang terkesan dengan pandemik Covid-19 meneruskan kelangsungan.

"Sebagaimana kita tahu banyak rumah kebajikan terkesan akibat Covid-19, malah ada yang saya dapat tahu rumah kebajikan terpaksa tutup kerana tiada dana untuk meneruskan kelangsungan.

"Alhamdulillah, kerjasama ini adalah projek pertama TKHM dalam sektor pertanian dan hari ini kita nampak hasilnya.

"Saya melihat ini contoh yang baik untuk mereka menjana pendapatan sendiri, malah saya juga menyeru syarikat korporat bekerjasama dengan Harian Metro untuk membantu mereka menjana pendapatan sendiri tanpa mengharapkan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 4:10 PM