Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


Banting: Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) menjalin kerjasama dengan Agrobank dalam membangunkan Sistem Tanaman Hidroponik di enam rumah kebajikan terpilih seluruh negara bagi membantu mereka menghasilkan sumber makanan serta menjana pendapatan sendiri.

Inisiatif ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membantu mengenal pasti rumah kebajikan terbabit dan Jabatan Pertanian Malaysia dengan membekalkan set permulaan sistem tanaman hidroponik serta sokongan seperti kaedah penjagaan dan tips penanaman sehingga sekurang-kurangnya tiga kali tuaian.

Enam rumah kebajikan yang terpilih itu ialah Madrasah Tahfiz Raudhatul Baiduri, Banting, Selangor; Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi; Desa Bina Diri Mersing, Johor; Rumah Amal Kulim, Kedah; Pertubuhan Kebajikan dan Amal Rumah Teduh, Perlis dan Perlis Special Teens Centre (PeSTeC).

Setiap rumah kebajikan menerima peruntukan bermula dari RM3,000 hingga RM5,000 bergantung kepada saiz dan ruang untuk menjalankan aktiviti hidroponik.

Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM, Husain Jahit berkata, usaha sama dengan pihak Agrobank adalah satu kerjasama strategik dan unik yang membuka pintu serta jalan kepada rumah kebajikan termasuk rumah anak yatim dan pusat tahfiz untuk meningkatkan ketersediaan mereka dalam mendepani apa jua cabaran ekonomi demi kelangsungan hidup seharian.

Melalui kaedah tanaman hidroponik ini, katanya, rumah kebajikan berkenaan mampu memanfaatkan sumber makanan hasil titik peluh mereka sendiri, selain memupuk minat anak kurang bernasib baik dalam bidang pertanian sekali gus berdikari.

"Di samping itu, keberhasilan projek ini juga berupaya menjadi pemangkin ekonomi yang memberi pulangan kepada rumah berkenaan.

"Kita tidak tahu bila wabak Covid-19 ini akan pulih dan jika berlarutan, pastinya akan menjejaskan kos perbelanjaan seharian golongan ini.

"Dengan adanya bantuan dan sumbangan seumpama projek tanaman hidroponik ini serta sokongan pihak korporat seperti Agrobank dan agensi kerajaan, mereka akan lebih bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dan seterusnya melindungi kelangsungan hidup mereka," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyerahan Simbolik Sumbangan Sistem Tanaman Hidroponik kepada Madrasah Tahfiz Raudhatul Baiduri di kebun tanaman rock melon hidroponik milik madrasah berkenaan di Jalan Dengkil Kampung Bukit Changgang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhammad Safar Ahmad, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro Yusri Abdul Malek, Pengarah Wilayah Agrobank Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, Abdul Rahim Ahmad serta Pengurus Madrasah Tahfiz Raudhatul Baiduri Mohd Izaha Ismail.

Pada majlis itu, Madrasah Tahfiz Raudhatul Baiduri turut menerima sumbangan zakat Agrobank bernilai RM8,400 serta kotak rezeki TKHM berupa pelbagai barangan keperluan dapur seperti beras, minyak masak, gula, tepung, bihun dan susu.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, menerusi jalinan kerjasama itu, mereka menyalurkan bantuan keseluruhan bernilai RM125,000 bagi projek penanaman untuk kegunaan sendiri atau dijual bagi menjamin kelestarian serta kemampanan enam institusi kebajikan terbabit.

"Program Titipan Kasih ini tepat pada masanya dan Agrobank berterima kasih kepada Harian Metro kerana sudi berkolaborasi dengan Agrobank yang saya kira sesuai dengan nadi serta mandat penubuhan Agrobank.

"Semoga platform ini dapat membantu madrasah ini serta lima badan kebajikan terpilih lain untuk memaksimumkan peluang ini sekali gus membantu meningkatkan jaminan bekalan makanan negara," katanya.

Mohd Izaha pula berkata, madrasah berkenaan yang ditubuhkan untuk anak yatim serta asnaf bukan hanya menawarkan pengajian al-Quran dan Akidah, malah turut menerapkan aspek pertanian dan penternakan bagi menambah kemahiran serta menampung kelangsungan mereka.

"Sebahagian hasil penternakan dan pertanian yang kita jalankan, diberikan semula kepada anak-anak ini supaya dapat membeli barangan keperluan harian mereka seperti pakaian dan sebagainya.

"Alhamdulillah, terima kasih saya ucapkan kepada pihak Agrobank dan Harian Metro kerana dengan suntikan dana kepada kami, kita melangkah satu tapak ke depan lagi untuk memulakan projek canggih menggunakan teknologi moden dan aplikasi Internet of Things (IoT) Smart Farming yang lebih senang dipantau walaupun kita ada di luar.

"Bermula dengan tanaman rock melon secara fertigasi akhirnya selepas mendapat cetusan daripada Agrobank dan Harian Metro ini terhasilnya pokok dalam anggaran usia tiga minggu dan kita sasarkan mengeluarkan hasil 14 Januari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:02 PM
Husain Jahit (tiga dari kiri), Abdul Rahim Ahmad (dua dari kiri),  Ustaz Mohd Izaha Ismail (kiri), Safar Ahmad (kanan), Yusri Abdul Malek (dua dari kanan),Ketua Jabatan  Komumikasi Korporat Agrobank, Katheja Begum (tiga dari kanan) bersama kakitangan Agrobank ketika Program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Agrobank, Kebun Tanaman Rock Melon Hidroponik milik Pusat Tahfiz, Madrasah Raudhatul Baiduri, Banting. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Husain Jahit (tiga dari kiri), Abdul Rahim Ahmad (dua dari kiri), Ustaz Mohd Izaha Ismail (kiri), Safar Ahmad (kanan), Yusri Abdul Malek (dua dari kanan),Ketua Jabatan Komumikasi Korporat Agrobank, Katheja Begum (tiga dari kanan) bersama kakitangan Agrobank ketika Program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Agrobank, Kebun Tanaman Rock Melon Hidroponik milik Pusat Tahfiz, Madrasah Raudhatul Baiduri, Banting. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL