P Manickavasagam menunjukkan buah Rock Melon yang telah dipetik untuk dijual ketika ditemui di Seksyen 25 Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
P Manickavasagam menunjukkan buah Rock Melon yang telah dipetik untuk dijual ketika ditemui di Seksyen 25 Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

KETIKA kebanyakan petani mengusahakan penanaman tembikai wangi atau rock melon di kebun atau ladang, seorang pengurus kolej swasta memilih tempat letak kereta aras empat di sebuah plaza di Shah Alam, untuk mengusahakan tanaman itu.

Berbekalkan minat bidang pertanian selain sebagai cabang menambah pendapatan, P Manickavasagam, 60, mengusahakan kebun di Plaza Sri Muda sejak 10 tahun lepas menggunakan kaedah hidroponik dan fertigasi.

Menceritakan lanjut, beliau berkata, idea penanaman rock melon di parkir kereta tercetus apabila beliau yang menguruskan Kolej Vis Mechatronic di plaza itu melihat tempat letak kereta kosong.

"Saya pilih aras empat (tingkat paling atas) bangunan Plaza Sri Muda iaitu tempat parkir tidak berbumbung sebagai kawasan tanaman rock melon.

"Saya uruskan Kolej Vis Mechatronic di aras tiga, jadi bila tengok tempat parkir ini tidak digunakan, saya sewa kawasan ini bagi mengusahakan rock melon," katanya.

Berbekalkan ilmu pertanian dan kemahiran teknologi, tanaman itu dapat diusahakan tanpa tanah bahkan penjagaan rock melon juga disifatkan tidak sukar atau melibatkan kos tinggi.

Beliau berkata, buah itu mudah ditanam dan dijaga. Malah hasilna bukan sahaja bergred A tetapi juga tidak mudah rosak.

"Dengan kaedah hidroponik dan fertigasi, saya tak perlu tanah atau cangkul untuk menanamnya.

"Saya belajar ilmu bertani daripada pegawai Jabatan Pertanian Klang dan hasilnya saya dapat buah bermutu," kata bapa tiga anak perempuan ini.

Manickavasagam berkata, kawasan parkir seluas 30.48 x 60.96 meter (m) itu, boleh menempatkan 3,600 pokok dan proses penanaman mengambil masa sehingga 75 hari sebelum dituai.

"Di sini ada 3,200 pokok yang ditanam secara hidroponik manakala 400 pokok lagi secara fertigasi. Kaedah hidroponik menggunakan 48 batang paip dengan saiz 6.09m, manakala fertigasi diisi sabut kelapa dalam polibeg," katanya.

Manickavasagam berkata, kaedah itu memudahkan dia mengurus kebunnya dengan hanya dibantu seorang pekerja Indonesia.

Katanya, beliau turut mengguna pakai sistem automasi iaitu kaedah air dan baja disatukan di dalam tangki supaya setiap pokok mendapat air dan baja secukupnya.

"Saya mencipta sistem ini sendiri dengan memasang kotak fius dan tetapkan di dalam komputer waktu air dan baja perlu disalurkan. Saya guna tangki air seberat 600 liter dengan campuran baja. Setiap dua jam, air mengalir menerusi paip ke pokok. Secara purata air dialirkan enam kali sehari," katanya.

Jelasnya, dengan cara itu pekerjanya tidak perlu memantau pokok setiap masa.

Katanya, dengan dua kaedah penanaman itu beliau mampu meraih pendapatan antara RM7,000 hingga RM8,000 dalam satu-satu masa, dan tanaman diusahakannya mengeluarkan buah lebih 1.5 kilogram (kg) bergred A dengan harga RM4 kepada pemborong.

"Selepas buah dipetik, kami jual lepada pemborong buah gred A, manakala selebihnya dijual kepada pasar raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 7:01 AM