TERNAKAN ayam dan itik turut  diusahakan warga madrasah.
TERNAKAN ayam dan itik turut diusahakan warga madrasah.
Amir Abd Hamid


BANTING: Bukan setakat menghafaz al-Quran, malah pelajar Madrasah Tahfiz Anak-Anak Yatim/Miskin Raudhatul Baiduri di Kampung Olak Lempit, di sini, turut dibekalkan ilmu usahawan tani sebagai persediaan kemahiran kendiri mencari rezeki.

Pengurus madrasah itu, Mohd Izaha Ismail berkata, sejak 2016 sehingga kini pusat ilmu berkenaan sudah menuai 11 kali tanaman rock melon dengan pendapatan tertinggi pernah dicapai adalah RM30,000 untuk sekali tuaian.

Beliau berkata, walaupun mengusahakan pertanian itu, namun pihak madrasah memastikan pelajar tidak hilang fokus utama dalam aspek hafazan dan bacaan kitab agama.

“Dalam sehari mereka (pelajar) ke kebun terletak dalam kawasan tahfiz ini hanya sejam. Setengah jam pagi setengah jam petang iaitu antara 7.30 pagi hingga 8 pagi dan 5.30 petang hingga 6 petang.

“Waktu riadah mereka dimanfaatkan dengan teknik tanaman ini termasuk penjagaannya. Kami mendapat sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

“Paling menyeronokkan pelajar adalah waktu tuaian apabila ramai datang termasuk dari luar negara untuk merasai memetik rock melon. Kami uar-uarkan Jom Petik Rock Melon, Membeli Sambil Beramal di media sosial Facebook (FB) dan WhatsApp setiap kali musim menuai,” katanya.

MOHD Izaha di kebun tanaman yang diusahakan  Madrasah Tahfiz  Anak-Anak Yatim/Miskin Raudhatul Baiduri, Kampung Olak Lempit.
MOHD Izaha di kebun tanaman yang diusahakan Madrasah Tahfiz Anak-Anak Yatim/Miskin Raudhatul Baiduri, Kampung Olak Lempit.

Beliau berkata, 30 peratus hasil jualan rock melon itu adalah untuk setiap pelajar tahfiz itu sebagai simpanan masa depan dan selebihnya bagi membantu pembiayaan operasi pusat tahfiz selain sumbangan orang ramai.

Selaras hadis Nabi Muhammad SAW sembilan persepuluh pintu rezeki datangnya daripada berniaga, katanya, aspek kemahiran itu diterapkan untuk pelajarnya menerusi janaan hasil pertanian.

“Tuaian terbaru dijangka 15 Disember depan. Selain rock melon diusahakan komersial, kami juga mempunyai empat kolam ternakan air tawar dan ternakan ayam kampung yang lebih kepada untuk kegunaan sendiri.

“Madrasah amat mengharapkan setiap pelajar bukan sahaja cemerlang dalam hafazan, ilmu kitab agama, komunikasi Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, malah menguasai selok-belok ilmu pertanian yang jelas terbukti boleh menjana pendapatan. Pertanian adalah perniagaan.

“Sebelum ini, tuaian dijual secara borong kepada pemborong atau Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), namun selepas musim tuai ketiga kami mendapat idea menarik pembeli merasai memetik rock melon di kebun,” katanya.

Orang ramai yang prihatin dan mahu memburu pahala boleh salurkan sumbangan di akaun CIMB 8603007683 atau Bank Rakyat 111151001490 atas nama Madrasah Tahfiz Raudhatul Baiduri.

Kos pembiayaan dan operasi tahfiz setiap bulan adalah antara RM10,000 hingga RM12,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 5:30 AM