Aizat Sharif


Kangar: Dua lelaki direman sehingga 16 Januari depan bagi membantu siasatan menerima wang rasuah daripada keluarga banduan untuk diberikan kepada pegawai penjara di Perlis pada tahun lalu.

Perintah reman selama enam hari yang bermula hari ini dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kangar, Kamaliza Md Zain selepas suspek berusia 26 dan 28 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis, di sini semalam.

Sumber berkata, suspek ditahan semalam jam 6.30 petang selepas diminta hadir ke Pejabat SPRM Perlis untuk memberi keterangan berhubung siasatan berkenaan.

"Suspek adalah rakan baik dan mereka dipercayai menjadi proksi atau orang tengah bagi meminta wang rasuah daripada keluarga banduan untuk diberikan kepada pegawai penjara sebagai balasan menyeludup barang terlarang ke dalam penjara.

"Siasatan awal kita mendapati suspek dipercayai melakukan 460 kali transaksi wang rasuah berjumlah sehingga RM80,000 sepanjang tahun lalu," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Negeri Perlis, Suzeliyana Hashim mengesahkan penangkapan kedua-dua suspek berkenaan.

Terdahulu, suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar sekitar jam 10 pagi sambil diiringi anggota SPRM dan keluar sekitar 50 minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 12:14 PM