DATUK Mohd Zaidi Ramli. FOTO arkib NSTP
DATUK Mohd Zaidi Ramli. FOTO arkib NSTP
Ahmad Hasbi

Seremban: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) membuka empat pusat pengumpulan naskhah al-Quran yang rosak akibat banjir.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, ia bertujuan menjaga kesucian dan memelihara kemuliaan al-Quran sebelum ia dilupuskan mengikut tatacara pelupusan ditetapkan pihaknya.

"JHEAINS membuka empat pusat pengumpulan iaitu di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Rembau, PAID Jelebu, PAID Kuala Pilah dan PAID Port Dickson.

"Setiap pejabat agama daerah akan dikendalikan pegawai kami yang bertugas dan orang ramai yang mahu menyerahkan al-Quran boleh menghubungi pejabat agama yang terbabit untuk maklumat lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya hanya mengumpulkan naskhah al-Quran saja dan orang ramai dinasihatkan supaya mengeringkannya terlebih dulu sebelum diserahkan di pusat pengumpulan.

Mohd Zaidi berkata, banjir melanda negara khususnya di Negeri Sembilan mengakibatkan kemusnahan serta kerosakan harta benda termasuklah al-Quran di masjid, surau, sekolah dan rumah persendirian.

"Al-Quran yang rosak akan dilupuskan mengikut kaedah yang menepati hukum syarak bagi memastikan kemuliaannya.

"Semua pihak khususnya umat Islam di lokasi terjejas, diminta menghantar naskhah al-Quran yang mengalami kerosakan ke pusat pengumpulan yang berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 10:58 AM