Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


Tampin: Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) masih perlu diteruskan walaupun sebahagian besar pelajar atau murid sudah mula memasuki sekolah bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tindakan itu mengambil kira sistem penggiliran pelajar atau murid yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Katanya, walaupun PdPR itu tidak dilakukan setiap hari, namun penting untuk memastikan pelajar atau murid sentiasa bersama dengan guru.

"Bagaimanapun, PdPR ketika ini berbeza sedikit di mana ia menjurus kepada persediaan bahan-bahan yang diperlukan oleh pelajar atau murid terutama perkara-perkara yang sukar difahami sebelum mereka memasuki sekolah dan mengikuti sesi PdP secara bersemuka.

"Ini satu pendekatan yang perlu dilakukan supaya pelajar atau murid dapat berterusan bersama guru bagi mengikuti pembelajaran mereka, walaupun bukan setiap hari, namun begitu penting pelajar atau murid sentiasa ada hubungan dengan guru.

"Apapun hasrat utama kita adalah untuk memastikan setiap pelajar atau murid ini kembali ke sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Zainun sempena pembukaan sekolah Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sini, hari ini.

Radzi (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan kerja di SK Tengku Zainun, Tampin hari ini. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin
Radzi (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan kerja di SK Tengku Zainun, Tampin hari ini. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin

Radzi juga berpuas hati dengan guru yang dapat menerima dengan baik sistem penggiliran yang sedang dilaksanakan.

"Saya berharap guru-guru dapat membiasakan diri dengan sistem penggiliran ini sebelum lebih ramai lagi pelajar atau murid kembali ke sekolah," katanya.

Mengenai persiapan menghadapi kemungkinan berlaku banjir susulan musim tengkujuh akhir tahun ini dan mengganggu sesi PdP, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuat persiapan sewajarnya berdasarkan keperluan dan keadaan semasa.

Katanya, pihaknya tidak menafikan kemungkinan akan ada kawasan atau sekolah tertentu yang akan terdedah kepada kejadian banjir.

"Namun tindakan kita akan berdasarkan keperluan dan keadaan semasa bagi menghadapi musim tengkujuh supaya sesi persekolahan ini berjalan dengan baik tanpa gangguan sehingga ke hujung penggal ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 11:33 AM