Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan dana berjumlah RM100 juta di bawah Dana Bangkit Semula Keluarga Agro bagi membantu pengusaha dalam bidang penternakan, perikanan, pertanian dan akuakultur yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jumlah itu diasingkan daripada peruntukan belanjawan RM4.2 bilion yang akan diterima kementeriannya pada tahun depan.

"Keutamaan bantuan adalah kepada mereka terjejas banjir dan ia sekali gus dapat memastikan industri makanan negara dapat dibangunkan semula.

DATUK Seri Dr. Ronald Kiandee (kanan) ketika melawat ke projek ternakan lembu yang terjejas akibat banjir di Kampung Esok. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
DATUK Seri Dr. Ronald Kiandee (kanan) ketika melawat ke projek ternakan lembu yang terjejas akibat banjir di Kampung Esok. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

"Bantuan bakal diterima berupa peralatan, baik pulih kerosakan, dan ada juga yang akan menerima dana daripada Agro Bank, " katanya ditemui selepas meninjau Projek Perikanan dan Veterinar di Kampung Chennah dan Kampung Esok, Jelebu yang terjejas banjir, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir.

Roland berkata, ketika ini, MAFI masih dalam proses mendapatkan data kerosakan dan kerugian melalui pelbagai jabatan dan agensi yang mana jumlah kerugian ini dijangka meningkat.

"Secara keseluruhannya berdasarkan laporan diterima setakat ini, jumlah keseluruhan anggaran kerugian melebihi RM63 juta membabitkan lebih 4,700 pengusaha untuk semua subsektor agromakanan termasuk perikanan, akuakultur, penternakan dan tanaman," katanya.

Dalam perkembangan lain, Roland berkata, MAFI juga memberi jaminan bekalan makanan tidak akan terjejas, malah kementerian sudah mengimport 30 peratus beras selepas beberapa kawasan tanaman padi musnah akibat banjir.

Katanya, jika perlu, kuota import beras akan ditambah bagi memastikan bekalan mencukupi.

"Kita sedang memantau semua kawasan sawah padi dan industri makanan lain bagi memastikan tiada masalah bekalan makanan berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 3:00 PM