Norzamira Chenoh


Shah Alam: Kerajaan Selangor meluluskan peruntukan segera lebih RM40 juta bagi melaksanakan beberapa projek pemulihan infrastruktur yang terjejas akibat banjir pada Disember lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan itu diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam membabitkan projek yang akan dikelola Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Sebanyak RM9.18 juta diperuntukkan bagi 13 projek kepada JPS bagi usaha pengukuhan tebing sungai, pembinaan ban sungai, pembinaan aras platform Tenaga Nasional Berhad (TNB), pembelian set penghidup mudah alih (mobile genset) serta penambahan Sistem Amaran Banjir di kawasan titik penting.

"Sebanyak RM31.7 juta pula diperuntukkan kepada JKR Selangor bagi projek kritikal seperti pembersihan runtuhan cerun, tebing jalan serta baik pulih jalan rosak.

"Ada projek yang sudah berjalan dan ada yang akan dilaksanakan dalam kadar segera," katanya pada sidang media khas pasca banjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, sehingga semalam, sebanyak 908 unit rumah di lapan daerah sudah dikenal pasti untuk dibaik pulih atau dibina baharu.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 876 rumah memerlukan baik pulih, manakala 32 lagi perlu dibina baharu.

"Kerajaan negeri akan meneliti senarai penuh yang sedang dimuktamadkan dan akan mengumumkan usaha bantuan kepada keluarga ini dalam masa terdekat.

"Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan turut membantu dalam proses baik pulih serta bina semula rumah yang terkesan.

"Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail akan menyelaraskan perkara ini termasuk menilai bentuk bantuan yang akan diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 6:32 PM