Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Johor bercadang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri ini yang diterajui UMNO, setakat ini.

Bekas Menteri Besar yang juga Ahli Jawatankuasa BERSATU Johor, Datuk Osman Sapian berkata, kenyataan ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh semalam itu lebih kepada pandangan peribadinya.

Beliau berkata, kenyataan dibuat Che Zakaria semalam yang mengaitkan empat nama ADUN BERSATU Johor itu juga tular sekali gus menaikkan lagi suhu politik di negeri ini.

"Saya sudah bercakap dengan empat ADUN BERSATU berkenaan dan mereka sendiri terkejut kerana tidak menyatakan apa-apa pendirian lagi.

"Mereka juga tidak beri mandat kepada Che Zakaria untuk bercakap mengenai isu ini kerana ia sangat sensitif apatah lagi ia hanya menimbulkan suasana panas dan mencetuskan kekalutan politik.

"Jika betul perkara sebegitu berlaku (tarik sokongan) selalunya ADUN BERSATU akan rujuk dan minta nasihat saya sebagai bekas Pengerusi BERSATU Johor, namun setakat ini tiada yang datang untuk bincang dan tanya pendapat berkaitan isu itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas di sini, hari ini.

Osman Sapian, ketika ditemuramah di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Kempas, Taman Kempas Utama,  Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Osman Sapian, ketika ditemuramah di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Kempas, Taman Kempas Utama, Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Semalam, media melaporkan empat ADUN BERSATU Johor sedia menarik sokongan terhadap kerajaan PN Johor jika UMNO masih mendesak untuk menukar kerajaan di peringkat Pusat.

Che Zakaria dilaporkan berkata, beliau yang juga seorang daripada ADUN berkenaan, sedia menarik sokongan pada bila-bila masa sekali gus akan mengakibatkan kerajaan PN Johor runtuh.

Dalam pada itu, Osman yang juga ADUN Kempas tidak menolak kemungkinan isu berkenaan timbul berikutan hubungan kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, yang renggang dengan ADUN BERSATU.

"Beberapa tindakan Hasni kebelakangan ini termasuk perlantikan ketua kampung baharu dan ahli majlis negeri yang hanya berlegar dalam kalangan UMNO Johor sekali gus meminggirkan BERSATU dan parti lain.

"Seharusnya sebagai Menteri Besar, Hasni perlu mewujudkan hubungan harmoni antara setiap parti yang membentuk PN Johor sekali gus dapat mengelakkan keadaan politik tidak stabil di Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 4:36 PM