GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kenaikan kos dan yuran taska adalah seiring dengan perubahan semasa dan ia tidak dapat dielakkan.

Ia berikutan kadar gaji minimum RM1,500 yang diperkenalkan kerajaan selain kenaikan kos lain seperti barangan, premis serta perbelanjaan berkaitan.

Presiden Persatuan Taska Kuala Lumpur Husen Mohd Yusof Khan berkata, pada masa ini, kenaikan itu masih belum ditetapkan dan pihaknya menjangka ia akan bermula sekitar Mac depan.

"Sebagai contoh untuk penjagaan bayi, jika naik gaji RM1,500, seorang pengasuh boleh jaga tiga bayi, bermakna seorang RM500.

"Kos kami termasuk juga potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial, makan minum, tempat tinggal, kos sewa premis serta tanggungan perubatan boleh mencecah sehingga RM700 bagi seorang yang dijaga.

"Jadi kenaikan kadar gaji minimum setara dengan kenaikan kos pengusaha," katanya.

Beliau mengulas rungutan ibu bapa yang bimbang tidak mampu membiayai kos menghantar anak ke taska susulan kenaikan harga yuran pada tahun ini.

Menurutnya, untung majikan bagi setiap bayi yang dijaga tidak seberapa sekitar RM20 hingga RM30 sahaja dan ia bukanlah keuntungan kepada pengusaha semata-mata, sebaliknya mengambil kira kenaikan kos semasa.

Katanya, ketika kadar gaji minimum sebelum ini, ramai dalam kalangan pengusaha taska tidak menaikkan caj, namun keadaan semasa pada ketika ini menyebabkan mereka perlu menaikkan kadar sedia ada.

"Kenaikan ini mungkin dapat dielakkan sekiranya kadar subsidi yuran dinaikkan daripada RM180 untuk seorang kanak-kanak kepada harga yang lebih tinggi.

"Tapi majoriti ibu bapa tidak layak kerana gaji minimum bagi satu keluarga RM3,000 bermakna ramai yang tidak layak.

"Contohnya kalau dinaikkan kepada RM250 dan pendapatan per kapita dinaikkan kepada RM5,000, mungkin ramai yang layak dan boleh bantu mengurangkan kos," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 3:50 PM