FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
minda

Kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan baru-baru ini bahawa pekerja negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini mendapat pelbagai reaksi daripada kalangan kelompok pekerja dan majikan. Jelas sekali bukan mudah untuk kerajaan menetapkan satu kadar gaji yang boleh memuaskan hati semua pihak.

Walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan dan dipersetujui oleh Jemaah Menteri, tetapi kita yakin pihak kerajaan akan membuat keputusan dengan segera. Hal ini kerana isu gaji minimum sering dibangkitkan oleh anggota masyarakat khususnya golongan pekerja terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan serta kos sara hidup semakin meningkat.

Malah, dilaporkan pihak kementerian sudah selesai melakukan kajian serta sudah ada angka gaji minimum untuk dibawa sebagai cadangan dan akan diumumkan selepas dipersetujui Jemaah Menteri. Hakikatnya, Saravanan sendiri mengakui, Malaysia sebenarnya agak terlambat memutuskan perkara ini dan kementerian sedang berusaha supaya ia akan direalisasikan menjelang akhir tahun ini.

Untuk rekod, kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan iaitu ketika pembentangan Bajet Tahun 2020.

Berdasarkan Perintah Gaji Minimum 2020, Seksyen 23, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), menyatakan kadar gaji minimum perlu dibayar kepada pekerja dalam mana-mana kawasan Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran adalah sebanyak RM1,200 sebulan, RM46.15 sehari (enam hari bekerja dalam seminggu), RM55.38 sehari (lima hari) dan RM69.23 sehari (empat hari), manakala bayaran setiap jam adalah RM5.77.

Gaji minimum RM1,200 ini terpakai di 16 Majlis Bandaraya iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri, Alor Setar, Melaka Bersejarah, Pulau Pinang, Seberang Perai, Ipoh, Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Terengganu, Kuching Utara, Kuching Selatan, Miri, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan Seremban. Ia juga terpakai di 40 Majlis Perbandaran membabitkan enam di Johor, Kedah (4), Kelantan (1), Melaka (3), Negeri Sembilan (2), Pahang (3), Perak (4), Perlis (1), Selangor (6), Terengganu (2), Sabah (3), Sarawak (4) dan Putrajaya.

Gaji RM1,100 sebulan pula terpakai untuk kawasan selain Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran atau harian RM42.31 (enam hari bekerja dalam seminggu), RM50.77 (lima hari) dan RM63.46 (empat hari), di samping bayaran setiap jam adalah RM5.29.

Secara prinsipnya, golongan pekerja menyambut baik perkembangan dan keputusan kerajaan ini kerana keadaan kehidupan rakyat sekarang sangat kritikal sekali gus menuntut satu kadar gaji yang lebih munasabah dan kompetitif. Golongan majikan pula berpandangan di sebaliknya, iaitu situasi sekarang bukan masa yang sesuai untuk meningkatkan kos menjalankan perniagaan dan cadangan pelaksanaan gaji minimum baharu akan menjejaskan pemulihan ekonomi.

Sektor perniagaan dilaporkan tidak bersedia melaksanakan cadangan itu kerana belum mencapai kestabilan ekoran kejutan ekonomi akibat Covid-19 dan kesan buruk banjir besar baru-baru ini. Malah, gaji minimum RM1,500 didakwa akan menaikkan kos barangan dan perkhidmatan selain kos operasi majikan.

Di samping itu, kadar gaji minimum yang akan memberi manfaat kepada pekerja yang gajinya lebih rendah daripada kadar gaji minimum kebangsaan baharu itu dikatakan akan lebih banyak menguntungkan pekerja asing memandangkan rakyat tempatan sudah dibayar gaji yang lebih tinggi, ini sekali gus akan menyebabkan pengaliran keluar wang akan terus meningkat.

Daripada perspektif pekerja pula dakwaan seperti ini hanya dilihat sebagai alasan pihak majikan untuk tidak meningkatkan kadar gaji minimum yang perlu dibayar kepada pekerja masing-masing. Majikan dilihat hanya fokus kepada beban yang mereka perlu tanggung jika kadar baharu ini dilaksanakan dalam masa terdekat tanpa mengambil peduli kesengsaraan kehidupan yang sedang dilalui oleh pekerja.

Menurut Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor, majikan sewajarnya bersedia untuk berdepan sebarang kenaikan gaji minimum berikutan semakan yang dijadualkan dibuat sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun. Malah, isu ia membebankan tidak sepatutnya timbul kerana majikan boleh menganggar dan mengandaikan kenaikan berkenaan lebih awal dengan berpandukan formula yang disediakan Majlis Perundingan Gaji Negara.

Hakikatnya isu gaji minimum mula mencetuskan dilema dan perdebatan yang hangat dalam kalangan pekerja dan juga majikan, di samping memberikan cabaran yang besar kepada kerajaan. Ironinya, kita juga perlu akui negara sedang berhadapan dengan masalah kenaikan harga barangan keperluan harian seperti ayam akibat daripada kekurangan bekalan bahan mentah dan pekerja. Justeru, jika gaji minimum dinaikkan sekarang, kecenderungan majikan mengalihkan kos upah itu kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan adalah sangat tinggi, sekali gus terus meningkatkan kos sara hidup rakyat.

Dalam konteks ini kita perlu sedar impak wabak ke atas ekonomi negara sangat serius dan memerlukan fasa pemulihan yang lebih lama. Justeru kenaikan gaji minimum serta kenaikan harga barangan bakal memberikan kesan yang mendalam kepada sektor ekonomi dan juga kehidupan rakyat secara menyeluruh terutamanya dalam tempoh jangka pendek ini.

Oleh itu kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian yang terbaik agar tidak mengecewakan pekerja dan pada masa yang sama tidak membebankan majikan. Jujurnya gaji minimum wajar dinaikkan dengan segera dan kita tidak boleh menunggu sehingga semua majikan bersetuju serta bersedia untuk melakukannya, namun jangan kita lupakan juga impaknya kepada majikan serta kesan kenaikan kos sara hidup kelak. Semoga cabaran dan dilema ini dapat dileraikan dalam situasi menang-menang supaya akhirnya ekonomi dapat dipulihkan, sektor perniagaan kembali stabil dan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 7:00 AM