MAHANOM menunjukkan papan kenyataan CCTV yang akan dipasang di kawasan taska.
MAHANOM menunjukkan papan kenyataan CCTV yang akan dipasang di kawasan taska.
Ayusliza Azizan

Shah Alam: Perintah gaji minimum pekerja sebanyak RM1,000 yang dikuatkuasakan 1 Julai lalu antara punca kebanyakan taska di Selangor terpaksa menaikkan yuran antara 10 hingga 30 peratus mulai Januari ini.

Kos pentadbiran dan pelesenan, utiliti, kursus pensijilan serta beberapa kos lain turut menjadi punca mengakibatkan pengusaha taska menanggung kerugian.

Presiden Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS) Mahanom Basri berkata, terdapat 1,148 taska berdaftar di negeri ini dengan anggaran 30,000 kanak-kanak di bawah jagaan semua pusat itu.

Menurutnya, mereka berusaha memberikan perkhidmatan profesional dan berkualiti seterusnya mengikuti semua syarat ditetapkan.

“Setiap pengusaha taska yang berdaftar di negeri ini berusaha mengikuti setiap syarat ditetapkan seperti menjalani kursus pensijilan, syarat ditetapkan bomba, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pelbagai lain.

“Malah ada pengusaha taska terpaksa mengambil keputusan menutup taska akibat menanggung kerugian,” katanya pada sidang media bagi memberikan penjelasan berhubung kenaikan kadar yuran taska di sini, semalam.

Mahanom berkata, pengurusan taska juga terpaksa berdepan dengan masalah lambakan pengusaha taska yang tidak berdaftar yang menawarkan kadar yuran jauh lebih rendah berbanding taska berdaftar.

Menurutnya, ibu bapa disaran lebih berhati-hati ketika menghantar anak mereka ke taska yang tidak berdaftar kerana mereka tidak mengikut syarat ditetapkan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan negeri dan persekutuan mempertimbangkan serta mengambil berat masalah dihadapi pengusaha taska yang terpaksa menanggung beban kos pengurusan tinggi.

“Beri kami sedikit kelonggaran dari segi syarat dan peraturan serta banteras taska yang tidak berdaftar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 5:15 AM