GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Dr Elya Nabila Abdul Bahri

KUASA beli pengguna penting dalam pengukuhan ekonomi negara. Kuasa beli sering dikaitkan dengan jumlah barangan atau perkhidmatan yang boleh dibeli dengan satu unit matawang. Dengan RM1, berapa banyak barang yang boleh dibeli pada hari ini berbanding pada tahun 1980-an?

Jika dahulu RM1 boleh beli 2 mangkuk mi kari dan 2 gelas air sirap, tapi hari ini RM1 tidak dapat membeli air mineral. Harga rumah ketika itu dirasakan sangat mahal, misalnya harga rumah di Petaling Jaya sekitar RM100,000 ke atas. Sedangkan harga yang sama pada tahun 1980 adalah sangat murah jika dibandingkan sekarang. Namun, pada tahun 1980-an, berapakah purata pendapatan ketika itu? Untuk mendapatkan gaji RM1,500 adalah sukar. Sebagai contoh penjawatan awam dengan kod gaji D mendapat gaji sekitar RM200 ke RM500 sahaja. Gaji RM1,000 pun dah dianggap mewah ketika itu.

Ini menunjukkan kenaikan harga barang selaras dengan kenaikan gaji dan upah. Ia selaras dengan teori lingkaran upah-harga. Firma akan meningkatkan harga barang sekiranya kadar upah dinaikkan kerana kos buruh dalam pengeluaran meningkat. Jika dilihat kenaikan kedua-dua elemen ini, sejak tahun 2013 gaji minimum RM900 diperkenalkan sehingga RM1,500 tahun 2022, kenaikan gaji minimum adalah sebanyak 66.67 peratus manakala kenaikan harga barangan mengikut harga indeks pengguna pula 18.64 peratus.

Jadi, adakah kita benar-benar tersepit? Maka adakah wajar untuk kita membandingkan RM1 kepada jumlah barang yang diperoleh beberapa dekad lalu dengan RM1 pada masa sekarang sebagai kurangnya kuasa beli pengguna? Benarkah penurunan kuasa beli hari ini disebabkan kesan inflasi atau kenaikan harga barang yang tidak selari dengan kenaikan gaji dan upah?

Tingkat harga dan kenaikan harga barang sering berlaku secara serentak di beberapa kawasan walaupun kawasan jualan adalah berbeza kerana maklumat kenaikan harga barang dalam pasaran adalah telus dengan kemajuan digital masa kini. Manakala tingkat pendapatan dan kenaikan gaji dan upah bergantung kepada jenis pekerjaan individu, tingkat pendidikan dan kemahiran, daya saing, pengalaman bekerja, dan kemampuan firma. Sekiranya seseorang individu tidak dapat meningkatkan kompetensi diri untuk meningkatkan kadar upah, maka individu itu akan tertekan dengan kenaikan kos sara hidup.

Kita akan tersepit dengan kesenjangan kos sara hidup sekiranya tingkat pendapatan dan kenaikan pendapatan tidak selari dengan tingkat harga dan kenaikan harga barang. Golongan yang benar-benar terkesan
adalah golongan rentan seperti gelandangan, orang kurang upaya, dan B40 yang berpendapatan di bawah RM4,849.

Manakala, isi rumah di bawah RM2,208 dikategorikan miskin tegar. Bahkan masih ramai B40 yang berpendapatan di bawah RM1,500. Bukan mudah untuk mereka meningkatkan gaji dan upah dengan kekangan yang dihadapi sama ada faktor aksesibiliti kemudahan atau pengaruh sosial. Oleh itu, pihak kerajaan sudah menyediakan Insentif Pendapatan Rakyat (IPR) untuk jana sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan melalui Bantuan Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Bantuan Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN)
dan Bantuan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Penurunan inflasi dalam konteks permintaan dan penawaran adalah dengan menurunkan permintaan atau meningkatkan penawaran atau peningkatan dalam penawaran dan permintaan secara serentak. Di peringkat pengguna, harga boleh diturunkan dengan mengurangkan perbelanjaan. Kerajaan melalui Bank Negara melaksanakan dasar monetari menguncup dengan kenaikan kadar dasar semalaman sebanyak empat kali pada tahun 2022 untuk mengurangkan perbelanjaan isi rumah.

Namun, sukar untuk kita mengurangkan perbelanjaan bagi barangan asas. Misalnya makanan, kita perlu makan setiap hari. Tambahan pula, penurunan dalam permintaan akan mengurangkan kesan pengganda dan boleh menyebabkan lambakan dalam pasaran. Maka Kerajaan juga melaksanakan dasar fiskal mengembang dengan peruntukan subsidi melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada isi rumah berpendapatan di bawah RM2,500, kredit e-Tunai Belia Rahmah RM200, dan Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran agar kuasa beli pengguna dapat ditingkatkan.

Manakala di pihak pengeluar mereka perlu meningkatkan penawaran. Namun begitu kita menghadapi kesukaran untuk meningkatkan penawaran kerana terdapat kekangan dalam rantaian bekalan ekoran inflasi global, peperangan Russia-Ukraine, dan sebelum ini kekangan perdagangan semasa pandemik Covid-19.

Sudah sampai masanya kita meningkatkan inovasi dengan mencipta barangan yang mampu menggantikan produk import. Malaysia memerlukan lebih ramai pengusaha berdaya inovasi di mana kerajaan dalam Belanjawan 2023 Malaysia Madani telah memberikan peruntukan tambahan RM50 juta untuk penyelidikan dan pembangunan bagi menyelesaikan masalah komuniti dan industri. Daya cipta ini sejajar dengan salah satu nilai asas Malaysia Madani.

Belanjawan 2023 juga mengetengahkan peruntukan 70 ekar tanah perladangan untuk penanaman jagung bijirin. Hasil penanaman ini dijangka boleh digunakan untuk penghasilan dedak ayam tempatan yang selama ini kita import. Maka ini dijangka akan dapat mengurangkan kos pengeluaran bagi penternakan ayam seterusnya dapat mengawal harga pengeluar dalam negara.

Struktur ekonomi yang kita inginkan adalah peningkatan dalam permintaan dengan meningkatkan kuasa beli rakyat, dan dalam masa yang sama penawaran juga ditingkatkan. Sekiranya peratusan kedua-dua permintaan dan penawaran meningkat serentak, tingkat harga dapat dikekalkan. Peranan kuasa beli pengguna serta daya produktiviti di pihak pengeluar dilihat sebagai suatu simbiosis yang perlu disemarakkan.

Penulis Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 5:59 AM