MINARNI mengajar kanak-kanak di taska miliknya. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
MINARNI mengajar kanak-kanak di taska miliknya. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
Noorazura Abdul Rahman


PENGUSAHA Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Kedah mengeluh berikutan terpaksa menampung pelbagai kos yang meningkat, namun tidak dapat menaikkan bayaran perkhidmatan bagi mengelak kehilangan pelanggan.

Pengerusi Persatuan Pendidik Awal Kanak-Kanak Kedah, Ku Rahmah Ku Bahari berkata, sehingga kini kira-kira 150 pengusaha taska terpaksa mengekalkan yuran yang rendah iaitu antara RM250 hingga RM350 bagi seorang kanak-kanak.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kebanyakan pengusaha taska gagal membayar gaji minimum kepada guru yang bertugas.

“Kami menyokong penuh pelarasan gaji minimum, tetapi pengusaha tidak mampu melaksanakannya berikutan yuran yang dikenakan sangat rendah menyebabkan guru taska hanya dibayar kira-kira RM600 sebulan.

“Gaji itu memang tidak mencukupi, malah pengusaha juga perlu membiayai kursus yang ditetapkan kerajaan ke atas guru taska dengan yuran yang agak tinggi,” katanya.

Ku Rahmah turut mencadangkan kerajaan mengkaji semula kadar yuran dengan menetapkan bayaran antara RM400 hingga RM600 bagi membolehkan pengusaha taska membayar gaji minimum kepada pendidik.

Sementara itu, seorang pengusaha taska, Minarni Mohd Husssin berkata, ia berharap masyarakat terutama waris dapat memahami keperluan pengusaha taska demi mendidik dan menjaga anak mereka.

Katanya, dia sendiri tidak mampu memberikan gaji minimum kepada guru taska miliknya berikutan hanya mengenakan yuran rendah kepada waris.

“Jika kami naikkan gaji, saya tidak akan mampu menampung perbelanjaan lain seperti menyediakan kemudahan untuk kanak-kanak, sewa bangunan, bil elektrik dan air, malah kami juga perlu menampung kos memasang kamera litar tertutup (CCTV).

“Begitu juga apabila kami nyatakan hasrat kepada waris untuk menaikkan yuran, mereka akan menarik diri dan mencari pengasuh lain. Jika waris lari ke tempat lain, perniagaan kami akan bertambah teruk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 4:09 PM