GAMBAR hiasan. Foto NSTP
GAMBAR hiasan. Foto NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Musim tengkujuh serta banjir yang melanda beberapa negeri memberi kesan kepada kenaikan harga jualan hasil laut di negeri ini.

Peniaga hasil laut di Pasar Besar Kuala Kangsar yang mahu dikenali sebagai Ah Huat, 56, berkata, biarpun hasil laut yang diperolehnya diambil dari nelayan perairan Perak keadaan laut bergelora membuatkan nelayan tidak turun ke laut, sekali gus mengurangkan perolehan hasil laut segar.

Katanya, kenaikan harga berlaku apabila peniaga sepertinya terpaksa mendapatkan hasil laut untuk dijual daripada hasil laut yang disimpan secara beku di jeti.

Katanya, ikan temenung umpamanya sebelum ini dijual segar pada harga antara RM10 hingga RM12 setiap kilogram (kg) namun sekarang terpaksa dijual antara RM16 hingga RM17 sekilogram.

"(Ikan temenung) segar pun tiada sekarang, semuanya diambil dari simpanan beku.

"Walaupun hanya sebahagian kecil kawasan di Perak dilanda banjir beberapa minggu lalu, keadaan laut di musim tengkujuh menyebabkan kenaikan harga ini berlaku," katanya.

Dia berkata, biarpun mencatatkan kenaikan harga drastik sehingga RM20 setiap kilogram, namun hasil udang bersaiz besar kini langsung tidak dapat diperoleh dari nelayan.

"Langsung tiada stok jualan udang besar walaupun sebelum ini dijual pada harga RM60 hingga RM65 sekilogram berbanding harga lama iaitu RM40 hingga RM45 sekilogram.

"Ikan senangin juga mengalami kenaikan harga apabila dijual pada harga RM40 sekilogram berbanding biasa iaitu RM32 sekilogram," katanya.

Katanya, dia difahamkan, situasi banjir melanda Selangor, Pahang, dan Kelantan tidak begitu memberi kesan kepada perolehan hasil laut nelayan di Perak memandangkan peraih kebiasaannya memperoleh bekalan melalui nelayan tempatan.

"Sebagaimana saya sendiri memperoleh bekalan hasil laut melalui nelayan di Pantai Remis atau Kuala Sepetang. Banjir di negeri lain, mungkin negeri terbabit sahajalah yang terkesan (harga jualan)," katanya.

Sementara itu, peniaga sayur di pasar sama yang hanya dikenali sebagai Komala berkata, sebilangan sayur turun harga antaranya kacang buncis dan cili padi, manakala sebilangan sayuran terutama terung panjang, daun salad, dan daun sup masih dijual mahal.

Katanya, agak mengejutkan juga apabila stok terung bulat tidak dapat diperoleh sejak beberapa bulan lalu termasuk yang diperoleh melalui penanam atau petani kampung.

"Saya tidak menolak kemungkinan faktor cuaca menyumbang kepada kenaikan harga serta ketiadaan stok sebegini.

"Terung panjang dijual RM14 sekilogram berbanding antara RM6 hingga RM8 sekilogram sebelum ini. Begitu juga sawi yang sekarang dijual mencecah harga RM6.50 sekilogram berbanding RM2 hingga RM3 sekilogram sebelum ini," katanya.

Sementara itu, tinjauan di sebuah pasar raya besar di sini serta di Meru mendapati stok barangan keperluan harian masih boleh didapati dengan harga berpatutan biarpun terdapat sebilangan barangan seperti telur ayam serta ayam segar dilihat tidak begitu banyak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 4:40 PM