Tiada ikan temenung atau kembung dijual dipasar bisik Kampung Tepi Sungai ekoran nelayan tidak ke laut akibat akibat angin kencang.
Tiada ikan temenung atau kembung dijual dipasar bisik Kampung Tepi Sungai ekoran nelayan tidak ke laut akibat akibat angin kencang.
Omar Osman


Sungai Petani: Harga ikan temenung atau kembung segar yang dijual di Kuala Muda, Sungai Petani sejak minggu lalu mencecah RM20 sekilogram (kg) berikutan kekurangan bekalan.

Difahamkan, harga ikan itu dijangka terus meningkat sehingga RM25 sekilogram berikutan monsun timur laut yang sedang melanda kini akan berlarutan sehingga April ini sekali gus menyebabkan ramai nelayan bimbang ke laut untuk menangkap ikan berikutan angin kencang dan ribut.

Nelayan yang ditemui berkata, angin kuat dan ribut yang melanda sejak kebelakangan ini menjadi punca mereka tidak berani turun ke laut selain ikan temenung yang kurang akibat aktiviti pukat jerut lampu dan tunda.

Saedon Salleh,45, berkata, sudah dua minggu keadaan begitu berikutan angin cuaca tidak mengizinkan menyebabkan ramai nelayan terutama bot pukat temenung tidak berani turun ke laut.

"Jika keluar pun hanya separuh jalan saja, belum sempat labuh pukat dipukul angin kuat terpaksa tarik naik pukat dan segera balik ke jeti kerana takut bot terbalik.

"Hari ini, jam 9 pagi sudah kena angin kuat belum sempat labuh pukat. Musim monsun timur laut memang begini dan ia berlarutan sehingga April depan. Ketika inilah nelayan terpaksa bergolok gadai untuk belanja kerana ikan temenung tidak ada," katanya ditemui hari ini.

Menurut Saedon, nelayan tidak ada pilihan, ditambah lagi dengan kos minyak menyebabkan harga jualan ikan temenung meningkat mendadak.

"Sebelum ini sekilogram ikan temenung segar dijual secara bisik antara RM8 sehingga RM10 kepada peraih dan peniaga.

"Tapi sejak lebih dua minggu ini harga naik antara RM12 sehingga RM18 sekilogram, jadi harga RM20 sekilogram di pasaran wajar kerana tiada bekalan ikan temenung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 4:00 PM