GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Fasa kedua pemulihan operasi Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) di Tasik Kenyir, Terengganu, yang terjejas akibat banjir pada Februari lalu termasuk penyenggaraan peralatan dan aset-aset penjanaan dijangka selesai Jun ini.

Dalam kenyataan hari ini, Tenaga Nasional Bhd (TNB) memaklumkan kerja pemulihan tersebut akan diikuti dengan fasa ketiga ke arah pemulihan operasi yang keseluruhan proses pemulihan mengambil masa hampir enam bulan dalam usaha memastikan keselamatan stesen berada dalam keadaan terkawal sepenuhnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din berkata, pelaksanaan langkah pemulihan bagi mengembalikan operasi SJSM turut merangkumi penilaian impak kejadian kepada struktur empangan.

"Penilaian mendapati integriti struktur empangan kekal kukuh dan selamat. Keadaan di sekitar Tasik Kenyir juga dijamin selamat," katanya.

Beliau berkata, TNB mendapatkan khidmat pakar perunding luar untuk membuat penilaian terperinci integriti empangan selain bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau keadaan cerun termasuk lima lokasi tanah runtuh di laluan menuju SJSM.

"SJSM yang mempunyai empat unit turbin hidro untuk menjana 100 MW setiap satu adalah satu daripada dua loji penjanaan di Kenyir. Sebuah lagi loji dikenali sebagai Stesen Janakuasa Hulu Terengganu (SJHT). Tasik Kenyir mempunyai keluasan 36,900 hektar dengan keluasan kawasan tadahan 260,000 hektar," katanya.

SJSM dihenti tugas sementara berikutan menara penghantaran voltan tinggi 132kV yang menyalurkan bekalan elektrik kepada Grid Nasional tumbang pada 27 Februari lalu akibat kejadian tanah runtuh berikutan keadaan hujan lebat luar biasa bermula 25 Februari.

Menurut TNB, kejadian tanah runtuh itu turut memutuskan perhubungan jalan keluar-masuk ke SJSM, meruntuhkan sebuah jambatan dan diikuti aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen.

Sebaik kejadian, TNB telah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Bisnesnya (pelan tindakan kecemasan) termasuk penyelarasan dengan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan jabatan lain di TNB.

Semua kerja-kerja fasa pertama termasuk pembersihan akses ke stesen, pembersihan bahan mendapan termasuk sisa kayu dan keladak telah dilaksanakan selain memulakan pemeriksaan struktur empangan dan perkakasan, keselamatan cerun dan kawasan penampan serta alur limpah.

TNB memberitahu usaha memulihkan operasinya berjalan lancar dengan kini memasuki fasa pemulihan kejuruteraan dan beroperasi semula menjelang hujung tahun ini mengikut perancangan.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 1:47 PM