DATUK Kamarul Zaman. FOTO Zuliaty Zulkifli
DATUK Kamarul Zaman. FOTO Zuliaty Zulkifli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kes penipuan membabitkan jenayah komersial di negeri ini meningkat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan 2021.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, peningkatan kes terutama membabitkan jenayah penipuan yang mencatatkan sebanyak 1,881 kes pada 2021 berbanding 1,125 kes pada 2020.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 90 peratus adalah kes penipuan membabitkan jenayah penipuan seperti Macau Scam sebanyak 397 kes, Love Scam (98 kes), pinjaman wang tidak wujud (297 kes), pelaburan tidak wujud (214 kes) dan penipuan belian dalam talian (593 kes).

"Kejadian banyak berlaku ketika PKP yang mana kebanyakan individu berada di rumah dan waktu itu sindiket penipuan ini merancang serta mencari taktik untuk mengaut wang daripada mangsa.

"Jumlah kerugian disebabkan jenayah kes komersial juga meningkat sebanyak RM11,079.937.52 iaitu kerugian sebanyak RM28,899,760.03 pada 2021 berbanding sebanyak RM17,819,822.51 pada 2020.

"Ia membabitkan kerugian berjumlah RM28 juta pada 2021 berbanding 17 juta pada tahun sebelumnya yang mana peningkatan kes penipuan disebabkan perubahan trend jenayah daripada jenayah bersemuka dengan secara maya disebabkan oleh PKP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, bagi pertuduhan jenayah komersial pada tahun ini iaitu sebanyak 657 kes berjaya dituduh iaitu hampir 34.92 peratus.

Beliau berkata, jenayah kekerasan juga meningkat sebanyak 10.95 peratus, jenayah harta benda meningkat 11.14 peratus dan jenayah narkotik turut menunjukkan peningkatan 28.5 peratus.

"Kemalangan jalan raya pula turun enam peratus iaitu 18,327 kes pada 2021 berbanding 19,490 kes pada 2020," katanya.

Katanya, keseluruhan indeks jenayah di negeri ini mencatatkan penurunan 7.5 peratus iaitu 3,822 kes pada tahun lalu berbanding 4,133 kes, pada 2020.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya berjaya memperoleh sebanyak RM10.9 juta daripada kutipan saman sempena tawaran pengurangan kadar kompaun saman trafik sehingga 80 peratus bermula dari 9 hingga 29 Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 11:10 AM