Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Mengubahsuai motosikal, menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi dan mengubah suai ekzos, itu antara kesalahan yang dikesan Polis Pulau Pinang dalam pemeriksaan dijalankan di sekitar daerah Timur Laut di sini, semalam.

Daripada 300 motosikal yang diperiksa menerusi Op Ambang Tahun Baharu itu, 44 daripadanya disita atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua 44 penunggang motosikal itu diperiksa di empat inap desa berasingan di sekitar Batu Feringghi dan Georgetown menerusi operasi yang bermula jam 4 petang.

Katanya, mereka berusia antara 20 hingga 30-an yang bekerja dalam pelbagai sektor seperti pemandu lori, tukang cuci dan pekerja ladang kelapa sawit.

"Pemeriksaan mendapati ada antara mereka yang datang dari Selangor, Perak dan Johor dengan menunggang motosikal ke Pulau Pinang.

"Mereka datang bersama kumpulan antara lima hingga 20 penunggang namun ada seorang daripadanya yang mengaku menunggang motosikal bersendirian dari Pahang," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, semalam.

Mengulas lanjut Soffian berkata, kesemua pemilik motosikal akan disiasat sama ada datang secara berkumpulan atau tidak selain menjalani ujian saringan air kencing.

Katanya, kesemua motosikal dibawa ke balai polis untuk disita dan dilakukan ujian tahap pencemaran bunyi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

ASISTEN Komisioner Soffian Santong (kiri) menyoal siasat antara penunggang yang ditahan ketika Ops Ambang Tahun Baru di sekitar daerah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini. FOTO DANIAL SAAD
ASISTEN Komisioner Soffian Santong (kiri) menyoal siasat antara penunggang yang ditahan ketika Ops Ambang Tahun Baru di sekitar daerah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini. FOTO DANIAL SAAD

"Kebanyakan motosikal yang disita adalah jenis Yamaha RXZ dan kita akan siasat mengenai tujuan mereka ke Pulau Pinang sama ada bagi menyertai lumba haram atau sebaliknya.

"Kita tidak menolak kemungkinan bahawa mereka sudah berjanji untuk berkumpul di inap desa berkenaan. Dijangka kita akan keluarkan lebih daripada satu saman, sita motosikal dan seterusnya dikenakan tindakan mahkamah," katanya lagi.

Terdahulu Soffian turut menyertai operasi bersepadu berkenaan yang dijalankan sehingga awal pagi tadi di lokasi tumpuan orang ramai.

Operasi membabitkan seramai 1,000 pegawai dan anggota polis seluruh Pulau Pinang itu dilakukan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk undang-undang lalu lintas.

"Bukan sahaja banteras jenayah, kita juga memberi tumpuan kepada aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain dan operasi ini akan dijalankan secara berterusan.

" Diharap dengan tindakan proaktif ini akan membantutkan hasrat mereka bagi melakukan kegiatan yang menjadi kesalahan seperti lumba haram dan lain-lain lagi," katanya.

Dalam perkembangan lain, didapati orang ramai tetap membanjiri Padang Kota Lama, di sini, meskipun tiada sambutan Tahun Baharu 2022 selain keadaan jalan raya yang sesak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 8:15 AM