JAMBATAN Kuala Belanga ditenggelami Sungai Pahi sejak dua hari lalu susulan hujan lebat mengakibatkan paras air meningkat mendadak. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
JAMBATAN Kuala Belanga ditenggelami Sungai Pahi sejak dua hari lalu susulan hujan lebat mengakibatkan paras air meningkat mendadak. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Lebih 1,000 penduduk di lima kampung terputus hubungan apabila jambatan Kampung Belanga ditenggelami banjir berikutan paras air Sungai Pahi meningkat sejak kelmarin.

Kampung yang terbabit adalah Kampung Jelutar, Kampung Belanga B, Kampung Temalir Baru, Kampung Temalir Lama dan Kampung Peria Baru.

Jambatan berkenaan yang menghubungkan Mukim Pahi dan Mukim Temalir ditenggelami air sungai setinggi hampir enam meter susulan hujan lebat.

Penghulu Mukim Pahi, Mohd Khairul Anuar Mohd Nor berkata, jambatan sepanjang 100 meter dengan ketinggian 2.4 meter itu sudah lima kali ditenggelami air sepanjang bulan ini.

"Apabila jambatan ini tenggelam, penduduk terpaksa menggunakan bot enjin galah sekiranya mereka memerlukan bantuan untuk keluar melakukan urusan masing-masing.

"Walaupun terdapat jalan alternatif, jambatan ini dianggap sebagai 'laluan utama' memandangkan ia sering digunakan oleh penduduk kampung sekitar untuk keluar ke Bandar Kuala Krai kerana menjimatkan masa," katanya ketika ditemui di Kampung Belanga, di sini, hari ini.

Menurutnya, setiap kali musim tengkujuh, penduduk sering terkepung disebabkan jambatan itu mudah ditenggelami air dan kebiasaannya ia akan surut dalam masa dua hingga tiga minggu bergantung kepada keadaan cuaca.

"Justeru, saya amat berharap pihak berkaitan dapat menaik taraf jambatan yang sudah lebih 20 tahun digunakan penduduk di kawasan sekitar," katanya.

Sementara itu, pemandu bot, Mohd Noor Azizi Othman, 36, berkata sejak dua hari lalu, dia mengambil inisiatif membantu penduduk untuk membawa mereka yang mempunyai urusan ke bandar secara percuma.

"Sejak dua hari lalu, saya berulang-alik hampir 30 kali sehari untuk membawa penduduk yang mempunyai urusan dan mereka boleh menghubungi saya pada bila-bila sekiranya memerlukan khidmat bot untuk menyeberang.

"Bagaimanapun, sekiranya terdapat kecemasan termasuk orang sakit, saya akan mendapatkan khidmat agensi penyelamat kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini memandangkan arus sungai yang deras selain perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 1:36 PM