Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Kira-kira 500 penduduk di Kampung Tanjung Kala dan Kampung Sungai Tasan, di sini, terputus hubungan dengan Bandar Kuala Krai selepas jambatan Tanjung Kala tenggelam akibat limpahan air Sungai Nal sejak Jumaat lalu.

Penghulu Mukim Kuala Pertang, Mat Ropi Abdullah, 47, berkata jambatan besi sepanjang 47 meter itu ditenggelami air setinggi lebih dua meter susulan hujan lebat berterusan sejak Khamis lalu.

"Setiap kali hujan atau musim tengkujuh, jambatan dianggap sebagai 'laluan utama' penduduk untuk ke Bandar Kuala Krai sering kali ditenggelami air dan mengambil masa hampir seminggu untuk surut.

"Apabila jambatan ini tenggelam, penduduk terpaksa menggunakan khidmat bot tambang sekiranya mahu keluar membeli barang keperluan atau melakukan urusan masing-masing," katanya.

Menurutnya, dia sudah memohon kerja menaik taraf jambatan itu sejak tiga tahun lalu dan projek berkenaan sudah pun diluluskan.

"Ia sekali gus mampu memberi kelegaan kepada penduduk kerana mereka tidak lagi terputus hubungan sekiranya berlaku hujan berterusan terutama ketika musim tengkujuh," katanya ketika ditemui di Kampung Keroh, di sini, hari ini.

Penghulu Mukim Kuala Pertang, Mat Ropi Abdullah (kanan) menunjukkan jambatan Tanjung Kala yang ditenggelami air sejak pagi Jumaat lalu susulan hujan lebat berterusan sehingga menenggelamkan jambatan berkenaan. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Penghulu Mukim Kuala Pertang, Mat Ropi Abdullah (kanan) menunjukkan jambatan Tanjung Kala yang ditenggelami air sejak pagi Jumaat lalu susulan hujan lebat berterusan sehingga menenggelamkan jambatan berkenaan. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Penduduk Kampung Sungai Tasan, Muhammad Ab Manaf, 38, berkata dia bersyukur kerana ada perkhidmatan bot tambang untuk memudahkan urusan penduduk jika terputus hubungan apabila jambatan ini ditenggelami air.

"Petang semalam, saya keluar mencari barang keperluan untuk bekalan kami sekeluarga selepas jambatan ini ditenggelami air dan tidak tahu bila ia akan surut memandangkan hujan semakin lebat.

"Bagaimanapun, saya terpaksa bermalam semalaman di rumah adik ipar selepas membeli barang disebabkan perkhidmatan bot tambang hanya setakat 6 petang sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 4:01 PM