Annuar Musa berucap pada majlis apresiasi Operasi Bantu Hingga Selesai (Ops BAHIS) di Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini. FOTO BERNAMA
Annuar Musa berucap pada majlis apresiasi Operasi Bantu Hingga Selesai (Ops BAHIS) di Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini. FOTO BERNAMA
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kedudukan Digital Nasional Berhad (DNB) dan isu pemilihan rangkaian borong tunggal (SWN) bagi pelaksanaan teknologi Internet 5G akan diselesaikan awal Mac ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Tan Sri Annuar Musa berkata, kementeriannya sudah selesai menyiapkan memorandum itu, semalam.

Beliau berkata, sebelum ini, KKMM dan Kementerian Kewangan (MOF) diarahkan Jemaah Menteri untuk memuktamadkan konsep dan perjalanan masa depan mengenai perkhidmatan teknologi maklumat itu.

"KKMM dan MOF sudah berbincang bagi memuktamadkan draf memorandum itu dan ia akan diedarkan kepada beberapa kementerian terbabit bagi mendapatkan maklum balas.

"Kami menjangkakan maklum balas itu akan diterima dalam masa dua minggu dan mensasarkan dibentang kepada Jemaah Menteri pada awal Mac ini bagi membuat keputusan," katanya pada sidang media di Majlis Apresiasi Sukarelawan Operasi Program Bantu Hingga Selesai (BAHIS) KKMM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Seperti dalam pelan tindakan MyDigital, DNB diberikan tempoh sebelum akhir tahun ini untuk melaksanakan perkhidmatan 5G ke kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur sebagai permulaan.

Ia akan membangunkan semua infrastruktur pelaksanaan 5G dengan kerjasama syarikat telekomunikasi sedia ada di negara ini untuk menjimatkan kos.

Annuar berkata, Ops BAHIS bermula pada 29 Disember 2021 dan berakhir 2 Januari lalu berkonsepkan keluarga angkat membabitkan 1,500 sukarelawan bagi membantu membersihkan 172 rumah mangsa banjir di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Bukit Changgang, Sepang dan Taman Sri Muda, Shah Alam.

Menurutnya, misi itu turut membantu mengangkut keluar kira-kira 6,000 tan sampah dari tiga kawasan terbabit dan menghulurkan bantuan kewangan RM1,000 kepada mangsa yang terbabit hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 5:12 PM