DATUK Seri Mahdzir Khalid  melawat  dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung Orang Asli di kampung Pian, Kuala Krau yang terjejas  banjir. FOTO Roselan Ab Malek
DATUK Seri Mahdzir Khalid melawat dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung Orang Asli di kampung Pian, Kuala Krau yang terjejas banjir. FOTO Roselan Ab Malek
RoselanAb Malekl


Temerloh: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membiayai pembinaan dan membaiki semula rumah mangsa banjir di kawasan luar bandar yang rosak musibah itu sehingga kediaman mereka tidak boleh diduduki.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementeriannya menyediakan peruntukan RM56,000 untuk membina setiap unit rumah baharu dan RM15,000 pula bagi pembiayaan membaik pulih rumah yang terjejas.

Beliau berkata, ia komitmen kerajaan yang prihatin dengan beban dialami mangsa banjir dan kementeriannya akan membantu membaiki rumah rakyat yang rosak dilanda banjir.

"Keutamaan kerja membaiki dan membina rumah mangsa banjir adalah di kawasan luar bandar dan golongan yang layak.

"Bancian jumlah rumah yang perlu diperbaiki dan dibina semula sedang dilakukan dan kerja pembinaan itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan banjir dan menyampaikan sumbangan di kampung Batu Kapor, Mentakab dekat sini, petang tadi.

Sebelum itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Pian, Kuala Krau dan tadika di kampung Penderas yang terjejas banjir.

Katanya, dalam masa yang sama, KPLB turut menubuhkan pasukan sukarelawan bagi membantu mangsa banjir yang terjejas.

"Esok sukarelawan KPLB akan pergi ke Bukit Changgang, Selangor dan juga Bentong. Ia akan dijadikan kawasan 'angkat' kementerian.

"Jumlah sukarelawan akan dipecah dua dan sudah dipersetujui dengan anggaran seramai 300 sukarelawan digerakkan ke Bukit Changgang, Selangor dan 300 lagi sukarelawan digerakkan ke daerah Bentong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 8:28 PM