GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Samadi Ahmad

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan orang ramai mengubungi Pejabat Agama Islam berdekatan bagi mendapatkan khidmat nasihat kaedah pelupusan al-Quran yang rosak akibat banjir.

Melalui perkongsian di Facebook, Jakim memaklumkan antara kaedah pelupusan adalah dengan cara membakar.

Katanya, kaedah ini dipersetujui dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bahagian Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 27 Ogos 1992 menyatakan antara pelupusan al-Quran adalah melalui kaedah pembakaran.

Empat kaedah pembakaran terdiri daripada bahan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang dibakar hendaklah menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar.

Bahan atau debu yang mengandungi ayat suci yang dibakar hendaklah dipastikan dikumpul agar tidak ditiup angin atau bersepah.

Al-Quran yang dibakar hendaklah ditanam pada tempat yang bersih atau tempat yang tidak dilalui orang atau dibuang ke dalam laut atau sungai yang mengalir.

Kerja pembakaran hendaklah dikawal selia oleh pegawai Jabatan Agama atau pihak yang mahu melupuskan bahan-bahan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 11:49 AM