GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Seorang pelajar perempuan membuat laporan polis, semalam, selepas mendapati gambarnya disalah guna oleh rakannya di laman sesawang Tumblr dengan menggunakan kata-kata berunsur lucah.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 17 tahun yang tidak berpuas hati terhadap satu ciapan di Twitter yang mengaibkan dirinya.

"Mangsa memaklumkan dia diberitahu rakan bahawa gambar swafoto wajahnya disalah guna di dalam laman sesawang Tumblr dengan kata-kata berunsur lucah dan mengaibkan melalui akaun Instagramnya.

"Mangsa mengetahui perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh rakannya yang juga bekas pelajar sekolah lama.

"Gambar pelajar perempuan itu sudah dipadam oleh suspek selepas mangsa menghubunginya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

"Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat dalam kes ini.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan kenyataan-kenyataan atau paparan yang boleh mengaibkan diri seseorang di media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 5:57 PM