BENDERA parti memenuhi kawasan sempena  Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Pangsun, Hulu Langat. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
BENDERA parti memenuhi kawasan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Pangsun, Hulu Langat. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Redzuan Muharam


Hulu Langat: Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di kawasan Parlimen Hulu Langat semakin terasa dan dapat dilihat dengan kibaran bendera parti bertanding di sepanjang jalan.

Tinjauan di Taman Sri Nanding, Pekan Batu14 dan Batu 18, di sini mendapati bendera parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) paling banyak digantung.

Ibarat perang bendera apabila kedua-duanya (bendera) digantung bertentangan dan tidak jauh antara satu dengan yang lain.

Bendera berkenaan turut digantung di khemah dua parti berkenaan yang ditempatkan di bahu jalan.

Kelihatan juga bendera Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) namun tidak banyak dan hanya di beberapa tempat saja.

Penduduk Kampung Dusun Tua, Zainuddin Jaafar, 61, berkata, sudah dua hari dia menyedari jalan menuju masuk ke rumahnya dipenuhi bendera parti bertanding.

"Saya nampak ia (bendera) semakin banyak selepas penamaan calon tempoh hari. Boleh dikatakan, kalau naik kenderaan memang akan nampak di kiri dan kanan sepanjang jalan.

"Paling banyak bendera BN dan PH, katanya.

Seorang lagi penduduk dikenali Mislina, 40, berkata, perang bendera itu bukan perkara baru malah dapat dilihat ketika PRU sebelum ini lagi.

"Kali ini macam lebih banyak berbanding dulu dan jika lalu sepanjang jalan, penuh bendera biru (BN) dan merah (PH).

"Saya tidak tahu bila mereka pasang dan gantung tetapi bendera itu isyarat PRU semakin hampir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 5:28 PM