GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun susulan kes tembak yang mencederakan anggota sukarelawan simpanan Polis dalam kejadian di Jalan Aur Duri, Kampung Seberang Pasir Mas, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan kejadian sekitar jam 11.30 tengah malam tadi, daripada pihak Hospital Pasir Mas (HPM) yang memaklumkan seorang lelaki cedera akibat ditembak.

"Berdasarkan laporan, mangsa sempat menelefon rakanya bagi memaklumkan bahawa dia ditembak dan berada di Kedai Nasi Lemak 43, Salor, di sini, untuk meminta bantuan.

"Mangsa dihantar ke HPM menggunakan ambulan sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, bagi rawatan lanjut.

"Kita dimaklumkan bahawa mangsa cedera pada paru-paru kanan dan kini keadaan mangsa masih ditidurkan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, motif kejadian masih dalam siasatan.

Terdahulu, mangsa, Kamarul Fadzreen Kamaruzaman, 30, yang juga pemuda UMNO Ketereh, dipercayai ditembak oleh individu tidak dikenali pada dada sebelah kanan ketika sedang menunggang motosikal.

Mangsa dilaporkan masih menunggang motosikal sejauh 100 meter selepas ditembak, menuju ke sebuah kedai makan berdekatan untuk meminta bantuan.

Berita berkaitan:

  • Polis bantuan cedera ditembak, tunggang motosikal 100 meter minta tolong
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 1:55 PM