KAWASAN tali air yang menjadi lokasi Harith Darwish lemas. FOTO Ihsan Bomba.
KAWASAN tali air yang menjadi lokasi Harith Darwish lemas. FOTO Ihsan Bomba.
Syaherah Mustafa


“SAYA sangat terkejut dan hampir pengsan apabila anak memberitahu adik kembarnya lemas di tali air,” kata Juri Ismail, 34, ibu kepada mangsa lemas di Kampung Belukar, Kubang Bemban, Pasir Mas, hari ini.

Mangsa, Md Harith Darwish Md Lokman, 9, ditemukan lemas pada 5.46 petang, selepas dipercayai bermain air dan mandi bersama rakan di kawasan tali air terbabit.

Juri berkata, Harith keluar bersama kembarnya Md Haras Irfan, 9, untuk bermain dengan rakan yang menjadi rutin mereka setiap petang selepas pulang dari sekolah.

“Ketika sedang berbual dengan suami, Md Lokman Saud, 36, yang baru pulang dari kerja, Haras tiba-tiba berlari pulang dalam keadaan cemas dan memberitahu adiknya lemas di tali air.

“Badan saya terus lemah dan tidak mampu berdiri selepas mendengar berita itu, manakala suami bergegas ke tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kebiasaannya mereka bermain berdekatan rumah, tetapi hari ini kedua-duanya ke tali air tanpa pengetahuannya.

Dalam nada sebak, Juri mengakui amat terkejut dan tidak menyangka kehilangan anak dalam kejadian itu.

Menurutnya, Haras memberitahu dia melihat adik kembarnya terkapai-kapai meminta tolong sebelum hilang dari pandangan.

“Haras tidak berani menolong dan terus pulang ke rumah untuk memberitahu saya dan suami.

“Kami reda dengan apa yang terjadi biarpun sedih kehilangan anak tersayang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Shapawi Stapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.33 sebelum ke lokasi kejadian.

“Seramai 14 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba Pasir Mas termasuk Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Kota Bharu membantu mencari mangsa.

“Mangsa ditemui oleh anggota bomba pada jarak 10 meter dari lokasi kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 8:05 PM