ACRYL Sani  (tengah) hadir ketika sidang media pasca banjir di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Taman Seri Muda, Shah Alam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ACRYL Sani (tengah) hadir ketika sidang media pasca banjir di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Taman Seri Muda, Shah Alam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Fahmy A Rosli

Shah Alam: Polis menerima tujuh laporan berhubung kejadian pecah masuk premis perniagaan dan kilang semasa bencana banjir melanda negeri ini.

Berdasarkan laporan diterima, empat kes berlaku di Shah Alam, manakala dua kes di Klang Utara dan satu kes di Klang Selatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia membabitkan pecah masuk kilang atau kedai yang menjual makanan dan keperluan harian.

Menurutnya, susulan kejadian, polis membuat beberapa tangkapan bagi membantu siasatan dan tindakan setimpal akan diambil terhadap pesalah.

"Ada segelintir (individu) yang mengambil kesempatan. Ada kata mereka terdesak kerana bekalan makanan terputus. Ada kata mereka ambil itu bukan keperluan bahkan untuk diagihkan kepada orang ramai.

"Semua tempat sediakan bekalan mencukupi di mana semua boleh datang ambil bekalan mengikut keperluan tanpa mengira warganegara atau bukan warganegara. Ini adalah bantuan kemanusiaan disediakan kerajaan dan semua orang dialukan-alukan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang membuat siasatan dan beberapa tangkapan dibuat terhadap kes yang dilaporkan. Tndakan semunasabah akan dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Taman Sri Muda, di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi mengelak kejadian sama berulang, polis meletakkan 30 pasukan Jabatan Siasatan Jenayah membabitkan 120 pegawai dan anggota bagi memastikan melakukan pemantauan.

Berhubung isu lori tunda yang didakwa 'melarikan' kereta mangsa banjir, Acryl Sani berkata, polis menahan seorang lelaki yang juga pemandu kenderaan itu.

"Ia bagi membantu siasatan berkenaan insiden berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 1:08 PM