FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan peningkatan satu peratus kes kemalangan dalam Op Selamat 18 yang bermula 29 April hingga 8 Mei lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, peningkatan itu sebanyak 111 kes iaitu 15,947 kes tahun ini berbanding 15,836 kes dalam operasi sama pada 2019.

Menurutnya, kes kemalangan maut pula merekodkan 160 kes tahun ini iaitu peningkatan tujuh peratus berbanding 150 kes pada 2019.

"Jumlah kematian juga merekodkan peningkatan empat peratus iaitu 166 kes berbanding 160 kes semasa Op Selamat 15 (2019).

"Penunggang dan pembonceng motosikal kekal mencatatkan kematian tertinggi iaitu 108 kematian atau 65 peratus daripada keseluruhan kes kematian Op Selamat 18," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, PDRM merekodkan peningkatan sehingga 51 peratus bagi jumlah saman sepanjang Op Selamat 18 iaitu 338,296 saman berbanding 223,449 pada Op Selamat 15.

Bagi kes tangkapan pula, katanya, sebanyak 496 tangkapan dilakukan membabitkan 330 kes berkaitan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan beberapa akta lain termasuk Akta 574 Kanun Keseksaan, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Imigresen 1959/63, Akta Racun serta Akta Kastam.

Bagaimanapun, Acryl berkata, kes pecah rumah merekodkan penurunan dari 313 kes pada Op Selamat 18 berbanding 545 kes pada Op Selamat 15.

"Keprihatinan pengguna jalan raya menyalurkan maklumat mengenai tingkah laku pengguna kenderaan yang melanggar peraturan dan undang-undang supaya tindakan dapat diambil, amat dihargai dan dipuji.

"Semangat Keluarga Malaysia dapat dilihat apabila semua pihak terutama pengguna jalan raya bertoleransi dan berhemah bagi memastikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dapat diraikan dengan penuh kemeriahan, kegembiraan, selamat dan harmoni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 4:05 PM