Shahrizan Raman
Shahrizan Raman
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Komuniti maritim terutamanya nelayan pesisir pantai perlu sentiasa peka dengan maklumat keadaan cuaca terutama perubahan tiupan angin yang beralih arah di sekitar Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, sepanjang musim ini, perairan Perak dijangka menerima tiupan angin yang lebih kencang dan berterusan.

Menurutnya, kelajuan angin antara 10 hingga 20 kilometer sejam dan boleh mencecah sehingga 40 hingga 50 kilometer sejam dengan hujan lebat serta ribut petir di sesetengah kawasan.

"Ombak pula dijangka mencapai ketinggian 2.5 hingga 3.5 meter sepanjang tempoh seminggu bermula hari ini.

"Situasi ini dilihat berpotensi mendatangkan risiko dan bahaya kepada pengusaha bot, terutamanya bot pancing rekreasi, bot tradisional dan fiber.

"Aktiviti pelancongan sekitar perairan pantai juga dinasihatkan peka dan sentiasa berhati-hatidengan situasi semasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, APMM Perak akan melaksanakan kempen 'Preventive SAR' bermula esok hingga 31 Disember ini di Kawasan Operasi Maritim (KOM) Negeri Perak.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan membendung kejadian tidak diingini dan sebagai persiapan kepada bantuan kecemasan serta merta bagi mengurangkan kes kehilangan nyawa dan harta benda di laut.

"Komuniti maritim disarankan sentiasa memakai jaket keselamatan dan membawa peralatan komunikasi bagi memudahkan perhubungan sekiranya berlaku kecemasan serta bersedia dengan sebarang perubahan iklim yang tidak dijangka.

"Penyebaran maklumat palsu mengenai kejadian ribut petir atau bantuan kecemasan di laut yang tidak sahih adalah dilarang sama sekali.

"Penyebaran maklumat palsu atau tidak sahih ini boleh membantutkan aktiviti harian komuniti nelayan serta usaha carilamat secara efektif," katanya.

Shahrizan berkata, maklumat awam berkaitan pelanggaran undang-undang dan carilamat maritim boleh disalurkan menerusi talian Malaysia Emergency Response Service (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05 - 6838737.

#kw peka, APMM, maritim, nelayan, cuaca, ombak, Perak, Lumut

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 12:36 PM