LIMA warga Indonesia (tengah) diserahkan kepada kedutaan republik itu, hari ini.
LIMA warga Indonesia (tengah) diserahkan kepada kedutaan republik itu, hari ini.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


LIMA nelayan Indonesia yang diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas bot mereka tenggelam berhampiran perairan Hutan Melintang, Bagan Datuk, Khamis lalu, diserahkan kepada kedutaan republik itu, hari ini.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, mereka diserahkan kepada wakil kedutaan Indonesia, Muhammad Feby Khaira di Ibu Pejabat Maritim Perak, Lumut bagi proses penghantaran pulang ke negara asal.

Menurutnya, bot nelayan asing berkenaan mengalami kebocoran selepas dipukul ribut dan tenggelam sebelum ditemukan bot APMM pada hari kejadian.

"Wakil Kedutaan Indonesia bersetuju menerima mereka dan akan menghantar pulang ke negara asal esok.

"Keputusan ujian saringan Covid-19 terhadap semua tahanan terbabit didapati negatif," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kehadiran bot nelayan asing terbabit dikesan bot Petir 80 milik APMM berhampiran perairan Hutan Melintang yang dalam perjalanan ke Bagan Sungai Burung, Selangor pada 9.05 pagi.

Maklumat mengenai bot itu kemudian disalurkan kepada Kapal Maritim (KM) Malawali bagi tindakan pengusiran, namun bot berkenaan hampir tenggelam akibat bocor dan memaksa APMM menyelamatkan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 5:08 PM