Jalan Pelatoh-Lubuk Lesong di Kampung Pelantoh, Chukai ditutup untuk semua kenderaan ringan hari ini selepas dinaiki air sehingga 0.4 meter. Foto Ihsan APM
Jalan Pelatoh-Lubuk Lesong di Kampung Pelantoh, Chukai ditutup untuk semua kenderaan ringan hari ini selepas dinaiki air sehingga 0.4 meter. Foto Ihsan APM
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Negeri ini sekali lagi dilanda banjir apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Setiu dan Dungun pagi hari ini.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, seramai 21 mangsa daripada lima keluarga kini ditempatkan di PPS selepas kediaman mereka dinaiki air susulan hujan berterusan sejak semalam.

Di Setiu, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kasar Hulu Nerus dibuka pada 1.30 pagi hari ini bagi menempatkan empat mangsa daripada satu keluarga.

Seramai 17 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja yang dibuka bermula 6.30 pagi tadi.

Ketika ini, keadaan cuaca hujan lebat di kebanyakan tempat di Terengganu.

Sementara itu, dua laluan di Chukai mula ditutup kepada kenderaan selepas dinaiki air hampir satu meter.

Ia membabitkan Jalan Pelatoh-Lubuk Lesong di Kampung Pelantoh yang ditutup untuk semua kenderaan ringan selepas dinaiki air sehingga 0.4 meter dan Jalan Teladas Air Putih di jambatan lama Teladas yang dinaiki air sehingga 0.76 meter.

Laluan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan berikutan arus deras dan pengguna boleh menggunakan jambatan baru Teladas sebagai jalan alternatif.

Di Setiu, Jalan Permaisuri/Hulu Seladang di Kampung Besut turut dinaiki air sehingga 0.20 meter namun laluan berkenaan masih dibuka kepada semua kenderaan.

Terdahulu, gelombang banjir pertama yang melanda Terengganu pada 2 Disember lalu pulih sepenuhnya apabila PPS di SK Atas Tol di Kuala Terengganu ditutup empat hari kemudian.

Menerusi gelombang banjir pertama itu, empat daerah di Terengganu terjejas apabila 224 mangsa daripada 75 keluarga di Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu ditempatkan di 10 PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 10:01 AM