Datuk Kamarul Zaman Mamat
Datuk Kamarul Zaman Mamat
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis Kedah mengetatkan kawalan ketat di sempadan Malaysia-Thailand dengan menutup laluan sempadan negara dalam usaha mengekang lelaki dikenali sebagai 'Long Tiger' lolos ke Thailand.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, setakat ini semua anggotanya sudah dikerah untuk mengesan dan memburu suspek terbabit yang berjaya meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor, Rabu lalu.

Beliau berkata, sekatan jalan raya (SJR) turut diletakkan di Bukit Kayu Hitam dan Kota Putra di Durian Burung untuk melakukan pemeriksaan terhadap semua kenderaan dan individu yang hendak ke sempadan.

"Selain itu, kita turut menubuhkan pasukan khas (Task Force) untuk membantu polis Kontinjen Johor mengesan suspek.

"Pasukan terbabit di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri akan melakukan risikan sekiranya terdapat pergerakan suspek di sempadan Malaysia-Thailand," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian 15 Disember lalu, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid menghadiri prosiding di Mahkamah Majistret Tangkak bagi perbicaraan kes berkait Seksyen 388 Kanun Keseksaan, sebelum terlepas daripada tahanan kira-kira 11.55 pagi.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohd Fadhil Minhat dilaporkan berkata, tertuduh yang masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, kini disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada tahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 11:33 PM