ABDUL Hamim Ab Hamid atau dikenali sebagai Long Tiger. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Hamim Ab Hamid atau dikenali sebagai Long Tiger. FOTO Arkib NSTP
Aizat Sharif

Kangar: Polis percaya suspek warga Myanmar etnik Rohingya, Abdul Hamim Ab Hamid, 32 atau dikenali sebagai 'Long Tiger' yang melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor pada 15 Disember lalu masih berada dalam negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sudah mempertingkatkan kawalan dan pemburuan suspek terutama di negeri yang mempunyai sempadan darat antarabangsa di bahagian utara dan pantai timur negara seperti Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan selain negeri di bahagian Selatan seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

"Malah, wajah suspek juga sudah diedarkan kepada setiap kontinjen polis negeri di negara ini selain turut meminta bantuan ketua polis daerah dan balai untuk mengesan suspek.

"Setakat ini, kita masih lagi giat mengesan serta memburu Long Tiger ini," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Dewan Serbaguna IPK Perlis, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mazlan bertemu dengan pesara polis dan menyampaikan zakat daripada polis kepada pesara polis untuk kegunaan harian mereka serta keluarga.

Turut hadir, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad.

Pada 15 Disember lalu, Long Tiger meloloskan diri menerusi pintu utama mahkamah pada sekitar jam 11.55 pagi sebelum perbicaraan bermula.

Suspek sebelum itu tiba dari Penjara Sungai Udang, Melaka untuk perbicaraan mengikut Seksyen 388, Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Ketika melarikan diri, suspek yang botak memakai baju pagoda serta berseluar coklat dan mempunyai ketinggian sekitar 160 sentimeter dan serta berat sekitar 65 kilogram

Suspek masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan serta Seksyen 224, kanun sama kerana lari daripada tahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 2:26 PM