Ramlan (tengah) menyampaikan sumbangan susu kepada penerima pada   Program Sumbangan Produk Susu Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) di lobi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). FOTO SAMADI AHMAD
Ramlan (tengah) menyampaikan sumbangan susu kepada penerima pada Program Sumbangan Produk Susu Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) di lobi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Putrajaya: Seramai 1,000 kanak-kanak dari Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sekitar pusat pentadbiran kerajaan di sini, mendapat manfaat melalui program sumbangan produk susu secara percuma syarikat Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI).

Usaha itu bertujuan menyokong meningkatkan penggunaan susu bagi menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan kanak-kanak.

Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun, berkata, setiap kanak-kanak yang dihantar ke Tabika atau Tabika Kemas sentiasa menerima nutrisi secukupnya seperti digariskan dalam Polisi Dasar Pemakanan Kebangsaan 2.0 oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, pemakanan sihat penting bagi menggalak tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak dan masalah kekurangan zat makanan serta pengambilan zat tidak seimbang boleh diatasi dengan program Bantuan Makanan Tambahan yang dilaksanakan kerajaan.

Katanya, pada tahun ini Kemas memperuntukkan hampir RM124 juta melalui program berkenaan bagi memastikan kanak-kanak di Tabika dan Taska Kemas dibekalkan makanan sihat dan seimbang seperti susu dan sebagainya.

"Kementerian berterima kasih kepada DLMI kerana sentiasa menyokong program dianjurkan Kemas melalui bentuk sumbangan, penyediaan gerai pameran, khidmat nasihat serta seminar kesihatan," katanya pada Majlis Flag Off Program Sumbangan Produk Susu DLMI di lobi kementerian di sini, tadi.

Turut hadir, Pengarah Pemasaran DLMI, Zatur Hassim dan Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Zatur berkata, program itu adalah sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat (CSR) DLMI dalam membantu dan meringankan beban golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sejajar dengan matlamat syarikat untuk 'Mengkhasiatkan Nusa dan Bangsa'.

Menurutnya, hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019) menunjukkan tren peningkatan bagi indikator seperti kurang berat badan, obesiti dan bantut di kalangan kanak-kanak di bawah lima tahun di samping kajian di bawah South East Asian Nutrition Survey (SEANUTS).

Katanya, peningkatan itu dikhuatiri akan menjadi lebih runcing akibat Covid-19 yang memberi kesan ekonomi dan kesihatan besar kepada masyarakat secara amnya lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang sedang membesarkan ahli keluarga pada masa depan.

"Sebanyak 2,000 produk susu tepung rumusan 4,5 dan 6 akan diagihkan kepada kanak-kanak Tabika dan Taska Kemas di seluruh Putrajaya secara penghantaran terus ke rumah," katanya.

Caption.

PUTRAJAYA 16 DISEMBER 2021.Ramlan (kiri) dan Zatur melancarkan Majlis Flag Off Program Sumbangan Produk Susu Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) di lobi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).Foto/NSTP SAMADI AHMAD

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 5:28 PM