Tan Sri Abang Johari Abang Openg. FOTO AIZUDDIN SAAD
Tan Sri Abang Johari Abang Openg. FOTO AIZUDDIN SAAD
Oleh Mohd Roji Kawi


Saratok: Sokongan majoriti ahli parlimen yang membolehkan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semalam, menjadi kemenangan paling bermakna bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memperjuangkan hak rakyat Sarawak.

Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, ketika mencadangkan supaya Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan dipinda, GPS mahu definisi Persekutuan tidak hanya bergantung kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 sahaja.

Menurutnya, GPS mahu pindaan itu mesti disertakan bersama MA63 dengan lampirannya iaitu semua janji yang dibuat pada 1963 secara terperinci dan dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

"Saya cukup gembira kerana pindaan MA63 yang dicadangkan GPS yang harus lengkap dengan segala isinya yang mana hak Sarawak harus dipertahankan, sudah diluluskan di Dewan Rakyat.

"Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) memang ada hendak membuat pindaan tetapi mereka tidak memasukkan isi (lampiran laporan IGC). Sebab itu, ketika itu GPS tidak menyokongnya kerana apa yang mereka cuba bawa itu hanya kosmetik sahaja, ibarat kuah tanpa isi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bagi Kawasan Krian di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta calon GPS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Krian Friday Belik.

Abang Johari berkata, GPS sentiasa memastikan setiap tuntutan dibuat berdasarkan undang-undang, bukannya membuat pelbagai ugutan termasuk untuk keluar dari Persekutuan Malaysia.

"Kita tidak pernah kata (bila membuat tuntutan), kita harus merdeka, kita keluar sahaja (dari Malaysia)...itu kerja paloi (tidak cerdik)," katanya.

Menurut beliau, GPS juga akan sentiasa memastikan perjuangan adalah untuk rakyat bukannya untuk individu tertentu atau keluarga mereka.

"Itu prinsip perjuangan GPS dan saya berharap penduduk Krian melihat demokrasi sebagai landasan untuk menaikkan taraf kehidupan di sini.

"Saya juga berterima kasih kerana ada calon yang menarik diri (calon Bebas, Datuk Ali Biju) dan kita menampilkan calon yang berkelayakan (Friday Belik) yang juga seorang bekas Residen (pentadbir Bahagian) yang saya jamin dapat memberikan perkhidmatan yang baik di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 1:22 PM