ALI Biju. FOTO arkib NSTP
ALI Biju. FOTO arkib NSTP
Melvin Joni


Kuching: Datuk Ali Biju mengumumkan menarik diri sebagai calon Bebas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, hari ini, dan akan memberi sokongan penuh kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik.

Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, keputusannya itu bagi memelihara muafakat serta memperkukuh hubungan antara Perikatan Nasional (PN) dan GPS.

"Saya telah mendapat nasihat pimpinan tertinggi parti serta jaminan daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati antara PN dan Tan Sri Abang Johari Openg selaku Pengerusi GPS.

"Saya penuh yakin bahawa muafakat ini adalah untuk meneruskan dan memperkukuh hubungan yang utuh antara PN dan GPS. Justeru, saya dengan rendah hati dan niat yang tulus ikhlas menarik diri sebagai calon DUN Krian dan memberi dukungan penuh kepada calon GPS, Friday Belik," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Saratok itu menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN Krian yang menyaksikan persaingan empat penjuru daripada Musa Dinggat (Parti Sarawak Bersatu), Danny Kuan (Parti Bumi Kenyalang) dan Friday.

Mengulas lanjut, Ali berkata, keputusannya menawarkan diri sebagai calon Bebas di DUN Krian dibuat selepas mengambil kira pandangan dan desakan daripada pimpinan masyarakat dan pengundi.

Katanya, sebagai wakil rakyat yang dipilih sejak 2011, dukungan dan sokongan yang padu itu memperkukuh tekadnya untuk meneruskan khidmat demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi di Krian dan Saratok.

"Walau bagaimanapun, saya menginsafi hakikat bahawa keputusan itu akan menjejaskan hubungan baik di antara Bersatu dan GPS.

"Saya berharap seluruh pengundi di DUN Krian, DUN Kalaka dan DUN Kabong yang kesemuanya di bawah Parlimen Saratok untuk memberi dukungan yang padu kepada calon GPS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 4:59 PM