PENGERUSI Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar bersalaman dengan sebahagian peserta Seminar Pelaburan 360 Hari Mega.
PENGERUSI Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar bersalaman dengan sebahagian peserta Seminar Pelaburan 360 Hari Mega.
SEMINAR Pelaburan 360 Hari meraih pengiktirafan antarabangsa dengan anugerah ‘Social Empowerment Award’.
SEMINAR Pelaburan 360 Hari meraih pengiktirafan antarabangsa dengan anugerah ‘Social Empowerment Award’.

Putrajaya: Orang ramai digalakkan menyertai Seminar Pelaburan 360 Hari anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) jika berminat mendapatkan ilmu pelaburan dan perancangan kewangan.

Penuntut KPJ Healthcare University College, Vysnari Ramachandran, 26, yang menyertai Seminar Pelaburan 360 Hari Mega, di sini, berkata, ini kali pertama dia menyertai seminar itu dan ia sangat menarik kerana maklumat yang disampaikan mudah difahami.

“Selepas menghadiri seminar ini, saya berhasrat memulakan pelaburan dengan ASNB dan membuat pelaburan secara konsisten apabila bekerja kelak,” katanya.

Seorang peserta, Mohd Anas Syakirin Adnan, 19, yang muncul antara pemenang pertandingan #cabaranlaburASNB, berkata dia tidak akan mengeluarkan wang kemenangannya yang diperloleh dalam bentuk unit amanah ASNB.

“Bagi saya, inilah permulaan untuk saya melabur dengan PNB dan ASNB,” katanya.

Peserta lain, Salleh Mohd Ali, 78, berkata, maklumat yang disampaikan penceramah boleh dijadikan panduan untuk orang ramai merancang kewangan mereka.

“Saya lihat ramai peserta yang hadir terdiri daripada mereka yang masih muda. Ini adalah masa terbaik untuk mereka memulakan pelaburan demi masa depan,” katanya.
Seminar Pelaburan 360 Hari Mega yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, baru-baru ini disertai kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada pelabur setia ASNB, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta selain orang ramai yang berminat mendaftar menerusi laman web ASNB.

Program itu kesinambungan Seminar Pelaburan 360 Hari yang diadakan PNB secara percuma. Setakat September lalu, seramai 546,000 peserta dari seluruh negara menghadiri seminar itu menerusi 5,500 siri seminar yang dianjurkan sejak 2008.

Dalam seminar mega itu, peserta berpeluang mengikuti tiga modul iaitu Asas Perancangan Kewangan, Perancangan Perlindungan Risiko dan Perancangan Harta Pusaka.

Selain tiga modul berkenaan, Seminar Pelaburan 360 Hari turut mempunyai modul berkaitan pelaburan, perancangan percukaian dan pendidikan serta persaraan.

Modul Asas Perancangan Kewangan disampaikan Setiausaha Majlis Perancang Kewangan Malaysia (MFPC), Anuar Shuib yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang perancangan kewangan.

Modul Perancangan Perlindungan Risiko pula disampaikan Zainal Abidin Wazid yang juga penasihat dalam bidang insurans/takaful dan perancangan kewangan manakala Rafie Omar menyampaikan modul Perancangan Harta Pusaka.

Seminar Pelaburan 360 Hari meraih pengiktirafan peringkat antarabangsa dengan anugerah ‘Social Empowerment Award’ oleh Enterprise Asia di majlis Asia Responsible Entrepreneurship Awards 2013 (AREA).

Untuk mendapatkan tarikh dan lokasi Seminar Pelaburan 360 Hari anjuran PNB ini, anda boleh mengunjungi laman web ASNB untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 10:25 AM