Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Perjalanan lebih 95 kilometer dari Sabak Bernam, Selangor ke Lumut berbaloi buat veteran Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) apabila dapat bertemu rakan seperjuangan ketika berkhidmat dalam pasukan elit TLDM itu.

Pertemuan penuh emosi itu berlaku ketika Mesyuarat Agung Tahunan Ke-4 Persatuan Veteran Paskal TLDM yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, di sini, semalam.

Abu Bakar Osman, 77, berkata, mesyuarat kali ini bermakna selepas lebih setahun 'berkurung' di rumah akibat pandemik Covid-19, sekali gus mengimbau kenangan 16 tahun bersama Paskal.

"Ini mengingatkan saya kepada kenangan ketika menjadi anggota Paskal sebaik saja melihat beret ungu dalam dewan ini. Saya juga terharu dengan sumbangan diberikan, rasa diri ini masih dihargai biarpun sudah lama bersara.

"Walaupun tidak ramai rakan satu 'batch' hadir, kerana ada yang sudah meninggal dunia tetapi saya tetap gembira dapat berjumpa 'junior' lain," katanya ketika ditemui di sini.

Dia yang mempunyai enam anak dan 14 cucu kini berstatus orang kurang upaya (OKU) kerana mempunyai masalah penglihatan mata kiri akibat glaukoma selain masalah lutut dan menggunakan tongkat untuk membantunya berjalan.

Abu Bakar yang berkhidmat selama 26 tahun itu menyertai Paskal selepas 10 tahun bersama TLDM serta menjadi anggota Paskal pengambilan kedua selepas penubuhan pasukan elit itu.

Katanya, dia memulakan perkhidmatannya dalam TLDM di Woodlands, Singapura sebelum bertugas di Sabah, kemudian bersara di Lumut pada tahun 1990 dengan pangkat terakhir Pegawai Waran I.

Menurutnya, menjadi anggota tentera khasnya Paskal memberikannya 1001 pengalaman serta berpeluang melakukan latihan bersama pasukan khas dalam dan luar negara seperti di Surabaya, Indonesia.

"Selepas dua minggu berkahwin saya terpaksa meninggalkan isteri kerana dihantar bertugas di Tawau, Sabah.

"Saya pulang ke kampung selama dua minggu selepas isteri melahirkan anak sebelum kembali ke sana dan selepas itu saya tak pulang kampung lebih setahun... bila balik kampung anak sudah berjalan.

"Menjadi tentera memerlukan kekuatan mental dan fizikal, malah keluarga terutama isteri juga perlu mempunyai kekuatan sama kerana tugas kami menuntut pengorbanan tinggi," katanya sambil memberitahu anak perempuannya juga pesara TLDM.

Veteran Paskal, D Subramaniam, 72, berkata, dia bangga apabila menjadi anggota berbangsa India pertama menyertai pasukan khas itu pada 1978 sebelum bersara, 1992 dengan pangkat Pegawai Waran II.

Menurutnya, dia menyertai TLDM pada 1970 dan mengakui sangat meminati bidang ketenteraan dan menjadi anggota Paskal membentuk dirinya sentiasa bersemangat serta berdisplin.

"Hari ini (semalam) saya sangat gembira kerana mesyuarat ini menemukan saya dan rakan satu 'batch' Paskal termasuk Abu Bakar.

"Dapat mengimbau kenangan bersama sewaktu berkhidmat memang menyeronokkan apatah saya orang India pertama sertai Paskal. Difahamkan Paskal mempunyai tiga lagi anggota berbangsa India," katanya yang menetap di Pulau Pinang.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Veteran Paskal, Laksamana Madya (B) Datuk Nasaruddin Othman berkata, pada mesyuarat agung kali ini mereka turut menyampaikan sumbangan hamper dan wang tunai kepada enam veteran pasukan itu yang juga OKU dan mereka yang kurang sihat.

Beliau berkata, pihaknya melalui wakil wilayah juga akan memberikan bantuan kepada veteran yang memerlukan yang sudah dikenal pasti bagi menjaga kebajikan veteran Paskal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 9:05 AM
ABU Bakar dan Subramaniam hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-4 Persatuan Veteran Paskal TLDM di Lumut. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
ABU Bakar dan Subramaniam hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-4 Persatuan Veteran Paskal TLDM di Lumut. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.