MUHAMAD Azam (kiri) bersama bapanya Ahmad Sazili. FOTO Muhaizan Yahya
MUHAMAD Azam (kiri) bersama bapanya Ahmad Sazili. FOTO Muhaizan Yahya
Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Separuh hidupnya diabadikan untuk berbakti kepada tanah air dengan menyertai pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Khas Laut (PASKAL).

Leftenan Komander (B) Ahmad Sazili Abdul Talib, 47, mula menyertai TLDM pada usia 20 tahun dan memilih bersama PASKAL setahun kemudian kerana meminati tugas lebih mencabar serta mahu menjadi individu ‘barisan hadapan’.

Sepanjang 23 tahun berkhidmat, sudah lebih 10 operasi disertainya termasuk Ops Fajar di Teluk Aden, Ops Pasir di Sabah, Ops Mayang Sari di Labuan dan Ops Pisang di Johor.

Selepas mengharungi pelbagai dugaan dan pengalaman, Ahmad Sazili bersara pada 4 Julai 2014 namun legasi kehebatan PASKAL masih diteruskan darah dagingnya apabila anak keduanya, Laskar Kelas Dua Muhamad Azam Zahran, 20, mengikut jejak langkahnya.

“Sebagai bapa, sejujurnya saya terharu apabila anak mahu menyertai PASKAL dan ketika dia menyuarakan hasrat itu, perasaan saya bercampur baur namun tidak melarang impiannya.

“Saya juga tidak terkejut ketika Angah (Muhamad Azam) menyatakan hasratnya itu kerana dia membesar dengan melihat saya bertugas sebagai anggota pasukan terbabit malah sering mencuba memakai baju seragam saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Seri Manjung, di sini.

Ahmad Sazili berkata, mengenangkan cabaran yang perlu diharungi bagi melayakkannya menyertai pasukan elit itu, dia mulanya bimbang terhadap peluang anaknya kerana khuatir tidak kuat melalui ujian dan cabaran.

GAMBAR kenangan ketika menjalani latihan di dalam hutan.
GAMBAR kenangan ketika menjalani latihan di dalam hutan.

“Saya juga bimbang dengan penerimaan isteri, Mazian Ahmad Zubir, 44, kerana sebelum ini dia risaukan saya dan selepas ini Angah pula, bagaimanapun kami lepaskan dia dengan sepenuh hati kerana yakin dia boleh.

“Syukur Angah buktikan dia layak menyertai PASKAL apabila lulus ujian dan memperoleh Beret Ungu,” katanya yang kini bekerja sebagai pengiring keselamatan.

Difahamkan setakat ini Ahmad Sazili dan Muhamad Azam Zahran adalah dua beranak pertama yang berjaya menyertai PASKAL kerana pasukan itu sememangnya sukar disertai dan hanya terbaik dari yang terbaik sahaja layak dipilih.

Veteran PASKAL itu berkata, semangat setia kawan dan kerjasama sangat penting dalam pasukan berkenaan yang diibaratkan seperti cubit paha kiri, paha kanan terasa dan itu yang sentiasa ditekankan kepada anaknya.

“Selain kekuatan dalaman, rohani, mental dan fizikal, semangat setia kawan, kerjasama serta saling menghormati sangat penting dan bila Angah memilih menjadi anggota pasukan elit ini, saya mahu dia mempunyai semangat itu tanpa berbelah bahagi,” katanya.

KETIKA bertugas.
KETIKA bertugas.

Bapa kepada enam anak itu berkata, dia tidak pernah memaksa atau melarang anaknya menyertai TLDM atau PASKAL malah keinginan Muhamad Azam Zahran menyertai kursus komando adalah atas kerelaan serta usahanya sendiri.

“Memang ramai yang meminati PASKAL tetapi untuk melepasi ujiannya sangat sukar. Ketika zaman saya dulu, kira-kira 60 anggota yang menyertai kursus namun hanya lapan sahaja termasuk saya yang lulus.

“Sebab itu saya pesan dengan Angah jika tekad mahu masuk PASKAL, buat betul-betul dan jangan separuh jalan.

“Jika hanya hendak mencuba, baik lupakan hasrat itu kerana PASKAL bukan tempat untuk mencuba, ” katanya yang berasal dari Lenggong, Perak.

Ahmad Sazili berharap pasukan yang pernah dicurahkan sepenuh tenaga dan khidmat itu terus cemerlang dan mengakui bangga melihat PASKAL semakin dikenali dan kini mempunyai pusat latihan yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

Sementara itu, Muhamad Azam Zahran berkata, bermula dengan ‘curi-curi’ menyarung seragam celoreng dan membelek album gambar bapanya bersama PASKAL akhirnya mendorong dia memilih kerjaya terbabit.

“Saya memang minat dengan pasukan ini dan dari sekolah rendah, saya serta adik-beradik lain sering pakai baju kerja ayah.

“Paling saya suka baju celoreng kerana baju itu segak dan anggota TLDM yang pakai celoreng hanya PASKAL sahaja. Memakainya saya rasa lain dan lebih bersemangat,” katanya.

AHMAD Sazili  (kiri) bersama seorang daripada rakan, Sukeri Din (kanan) yang menyelamatkannya daripada terjatuh ketika latihan di pelantar minyak.
AHMAD Sazili (kiri) bersama seorang daripada rakan, Sukeri Din (kanan) yang menyelamatkannya daripada terjatuh ketika latihan di pelantar minyak.

Mengakui bangga menyertai PASKAL, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Samudera, Manjung itu berkata, tempoh lima bulan diharungi sepanjang kursus dijalankan bukan sesuatu yang mudah.

“Sebenarnya banyak kali saya rasa putus asa kerana ia sangat sukar, namun buddy (rakan sekursus) sentiasa beri semangat dan saya juga selalu ingat pesanan ayah serta sokongan keluarga.

“PASKAL adalah pilihan saya sendiri dan ketika dipakaikan Beret Ungu selepas tamat latihan, saya sangat bersyukur kerana impian dari kecil serta penat lelah selama ini sudah tercapai dan terselit juga rasa bangga menjadi salah seorang anggota pasukan elit itu,” katanya.

Menurutnya, dia mahu buktikan jika bapanya boleh buat, dia juga boleh buat kerana veteran PASKAL itu adalah idolanya.

Muhamad Azam Zahran menerima Beret Ungu selepas menamatkan kursus asas komando siri 65/18 yang disampaikan bekas Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 10:00 AM