PERTUNJUKKAN kawad senyap TLDM antara keunikan unit tentera yang dapat disaksikan di HTA. FOTO Muhamad Lokman Khairi.
PERTUNJUKKAN kawad senyap TLDM antara keunikan unit tentera yang dapat disaksikan di HTA. FOTO Muhamad Lokman Khairi.
Muhamad Lokman Khairi


Lumut: Demonstrasi operasi menyelamat dijalankan Pasukan Khas Laut (PASKAL) pada Hari Terbuka Armada (HTA) di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, hari ini amat mengujakan pengunjung.

Ketika demonstrasi, pengunjung disajikan dengan aturgerak 'panglima hitam' menyelamatkan anak kapal yang menjadi tebusan sekumpulan lanun berbahaya.

Aksi penuh mendebarkan itu turut membabitkan pesawat Fennec dan Super Lynx milik TLDM, di samping siri tembak-menembak antara pasukan PASKAL dengan lanun terbabit.

Iringan penjelasan operasi menyelamat oleh juruacara turut membuatkan pengunjung turut merasai ketegangan situasi.

Seorang pengunjung, Muhammad Ilham Fikri Suhaimi, 20, berkata, dia cukup kagum dapat melihat operasi menyelamat secara dekat.

"Memang terbaik, saya rasa cukup kagum sepanjang PASKAL menjalankan operasi menyelamat, lagi-lagi ketika pesawat menghampiri kapal yang dirampas.

"Saya rasa macam nak daftar masuk TLDM," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

INDIVIDU yang direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah. FOTO Mikail Ong.
INDIVIDU yang direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah. FOTO Mikail Ong.

Seorang lagi pengunjung, Shamsudin Abas, 74, berkata, dia dan keluarga sanggup datang dari Kota Bharu, Kelantan sejak kelmarin untuk mengunjungi HTA.

"Anak saya ada bekerja di sini, jadi kami sekeluarga datang ke sini atas pelawaannya.

"Kami tiba kelmarin dan menyewa sebuah inap desa berdekatan hingga Sabtu ini.

"Ini kali kedua kami sekeluarga datang ke Lumut untuk acara ini, memang seronok dapat lihat macam-macam tarikan aktiviti ketenteraan," katanya.

Pengunjung dilihat mula membanjiri Pangkalan TLDM Lumut, lokasi HTA berlangsung, seawal jam 7 pagi.

Selain demonstrasi PASKAL, pengunjung juga berpeluang masuk ke dalam 11 kapal milik TLDM termasuk KD Lekiu dan KD Jebat yang juga kapal perang kelas 'frigate'.

Turut menjadi tumpuan pertunjukan kawad senyap dan pancaragam TLDM, demonstrasi bot tempur dan bot laser serta pertunjukan udara TLDM dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Acara julung kali TLDM berkenaan berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini sehingga 31 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 5:46 PM