Noor Hidayah Tanzizi


DUA anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia dalam Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Jumaat lalu disahkan sihat sebelum dimasukkan ke pusat tahanan.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, pemeriksaan kesihatan yang dijalankan sebelum dua anggota berkenaan menjalani tahanan mendapati kedua-duanya berada dalam keadaan sihat.

Menurutnya, mengikut prosedur operasi standard (SOP) setiap anggota yang akan dimasukkan ke pusat tahanan akan menjalani ujian kesihatan untuk memastikan mereka benar-benar sihat untuk menjalani latihan yang ditetapkan.

"Kedua-dua anggota terbabit adalah sihat (sebelum dihantar ke unit tahanan) namun kita tidak boleh mengulas lanjut perkara ini kerana tidak mahu membuat sebarang spekulasi

"Bagaimanapun TLDM memandang serius perkara ini dan akan menjalankan siasatan secara terperinci serta akan melihat dari semua aspek yang berkaitan dengan kes ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Upacara Penganugerahan Beret Kehormat dan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada Veteran Pasukan Khas Laut (PASKAL) sempena Sambutan Ulang Tahun ke-35 PASKAL di Markas PASKAL, Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.

AHMAD Kamarulzaman (kiri) menerima penganugerahan Beret Kehormat oleh Panglima PASKAL, Laksamana Pertama Anuar Alias di Majlis Penganugerahan  Beret Kehormat dan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia kepada Veteran PASKAL. FOTO Muhaizan Yahya
AHMAD Kamarulzaman (kiri) menerima penganugerahan Beret Kehormat oleh Panglima PASKAL, Laksamana Pertama Anuar Alias di Majlis Penganugerahan Beret Kehormat dan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia kepada Veteran PASKAL. FOTO Muhaizan Yahya

Beliau berkata, tiga anggota pengawal yang bertugas sudah direman bagi membantu siasatan dan pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu siasatan yang dijalankan.

"Lembaga siasatan juga sudah bersidang dan tidak akan campur tangan dalam siasatan yang sedang dijalankan pihak polis dan TLDM tidak akan berkompromi serta tidak melindungi mana-mana anggota yang didapati bersalah kerana keadilan perlu ditegakkan.

"Lembaga ini mempunyai lima ahli yang diketuai seorang pegawai berpangkat Kapten dan seorang ahli dalam lembaga ini mempunyai kepakaran dalam Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH)," katanya.

Menurutnya, pusat tahanan itu akan terus beroperasi bagaimanapun pihaknya akan meneliti SOP termasuk memastikan sama ada ia masih relevan serta komprehensif dan petugas mematuhi peraturan ditetapkan namun ia tidak boleh dihuraikan secara lanjut.

Berita berkaitan

Reman tujuh hari

Anggota TLDM meninggal disiasat kes bunuh

Kecederaan dalaman juga

Tiba-tiba minta maaf

Isteri kata ada unsur jenayah

Eqiey kata nak berhenti kerja

Tunggu keputusan bedah siasat

Naluri isteri LK 1 Nik Mohd Baihaqy

Anggota TLDM maut latihan fizikal

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 3:49 PM