MOHD Fauzi (dua kanan) bersama penerima pada majlis graduasi. Turut hadir, Rabiah Bee (tiga kanan). FOTO Asyraf Hamzah
MOHD Fauzi (dua kanan) bersama penerima pada majlis graduasi. Turut hadir, Rabiah Bee (tiga kanan). FOTO Asyraf Hamzah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bercadang mengambil beberapa inisiatif bagi memperluas fungsi pusat pengajian warga emas Darul Ilmi yang boleh memanfaatkan setiap lapisan masyarakat.

Pengurus Bahagian Pembangunan Insan MAIWP Mohd Fauzi Abidin berkata, antara inisiatif itu termasuk membangunkan baki tanah seluas 0.4 hektar di Darul Ilmi bagi program komuniti pertanian bandar serta mewujudkan program tambahan membabitkan pelbagai peringkat umur termasuk belia dan kanak-kanak.

Beliau berkata, pusat itu juga boleh mengadakan kerjasama dengan pengurusan masjid berhampiran dan komuniti setempat untuk memperkenalkan kelas-kelas pengajian hujung minggu secara berstruktur selain menjadi pusat kegiatan komuniti khususnya bagi golongan wanita dengan aktiviti bersifat hubungan sosial.

"InsyaAllah dengan usaha-usaha berterusan ini, Darul Ilmi yang berkonsepkan wakaf ini akan sentiasa berkembang dan dimanfaatkan oleh masyarakat semaksimum yang mungkin," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Darul Ilmi kali ketiga di Kampung Sungai Penchala di sini, hari ini.

Darul Ilmi yang ditubuhkan hasil niat murni pewakaf, Allahyarham Mohd Mazlan Md Ismail dan isterinya Rabiah Bee Mohamed Sulaiman menyediakan pembelajaran secara bersistematik dan menggunakan kitab-kitab agama masyhur dan muktabar.

Mohd Fauzi turut berharap supaya lebih ramai individu dapat mewakafkan harta yang dapat dimanfaatkan untuk kepentingan ummah.

Dalam pada itu, beliau berkata MAIWP juga mempunyai rantaian institusi pendidikan bermula dari pendidikan awal sehingga pengajian tinggi seperti Sekolah Menengah Agama MAIWP, Sekolah Menengah Integrasi Sains dan Tahfiz (SMISTA), Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) dan Kolej Profesional Baitumal Kuala Lumpur.

Pada majlis graduasi berkenaan, sembilan wanita warga emas menerima sijil selepas menyempurnakan pengajian selama dua tahun.

Seorang suri rumah Fatimah Osman, 67, meluahkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan pengajiannya dan buat pertama kali dapat mengenakan jubah konvokesyen seperti pelajar universiti.

"Terima kasih kepada pewakaf, pihak MAIWP dan pembayar zakat kerana tanpa mereka, kami tidak akan dapat belajar di sini dan semoga Allah memberi ganjaran yang baik kepada semua yang terlibat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 5:54 PM