PENGUNJUNG di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara yang terdapat di dalam Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENGUNJUNG di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara yang terdapat di dalam Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) terus mendapat sambutan dengan jangkaan kehadiran mencecah 70,000 pengunjung sehingga esok.

Pengarah Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Wan Azilawati Wan Mahmood berkata, kehadiran itu melebihi sasaran 20,000 pengunjung yang ditetapkan namun langkah keselamatan dititikberatkan dengan bantuan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi memastikan tidak berlakunya perlanggararan prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Wan Azilawati, persediaan untuk menganjurkan program itu mengambil masa singkat iaitu tidak sampai sebulan dan kehadiran pengunjung adalah di luar jangkaan terutama pada hari perasmian.

"Tak jangka pengunjung yang datang seramai itu pada hari perasmian namun kita sudah membuat persediaan dengan melantik jawatankuasa kecil bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebersihan selain memohon kebenaran.

"Ia membabitkan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM, Rela, APM,Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan KLCC.

"Hari pertama saja mencatatkan kehadiran 32,000 pengunjung diikuti 18,000 semalam dan dijangka lebih ramai hari ini dan esok walaupun kaunter bayaran saman sudah ditutup.

"Ini kerana masih ada pameran kerjaya, pameran Jom Masuk Institut Pengajian Tinggi (IPT), perkhidmatan pembaharuan lesen, kad pengenalan, cukai dan lain-lain perkhidmatan di bawah kementerian serta cabutan bertuah boleh dimenangi pengunjung,"katanya ketika ditemui di KLCC, di sini.

Menurut Wan Azilawati, kehadiran pengunjung yang ramai itu bukti kecenderungan rakyat untuk tahu lebih lanjut mengenai inisiatif AKM 100 Hari yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru, Wan Azilawati tidak menolak kemungkinan adanya kesinambungan menerusi penganjuran program jelajah di peringkat negeri.

"Memang ada perancangan anjurkan program di peringkat negeri supaya orang ramai dapat hayati dan dalami ilham Perdana Menteri.

"Ia selaras dengan teras keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat berkata, MOTAC berjaya mencapai sasaran tiga Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan sepanjang tempoh 100 hari pentadbiran Perdana Menteri.

Beliau berkata, pembukaan rentas negeri dengan prosedur operasi standard (SOP) berjaya dicapai dan pemberian rebat untuk menggalakkan pelancongan turut mendapat sambutan memberansangkan.

"Ketika ini kita masih aktif lagi walaupun sasaran sudah berjaya dicapai, dalam mempromosikan pembangunan industri kraf negara demi memperkasakan sosioekonomi rakyat.

"Sepanjang tempoh 100 hari lalu, MOTAC menerusi platform MyCraftShoppe (MCS) berjaya menarik penyertaan kira-kira 160 usahawan kraf berbanding 100 usahawan disasarkan untuk terbabit dalam platform ini.

"Saya yakin dalam tempoh terdekat, kira-kira 6,257 usahawan kraf yang ada akan menyertai platform MCS ini dengan hampir 11,700 tenaga kerja yang ada dan MOTAC sedia memberi latihan dan bimbingan supaya matlamat KPI ini akan tercapai," katanya.

Seorang pengunjung, Siti Rohani Husni, 31, dari Batang Kali, Selangor meluangkan masa hujung minggu untuk hadir bagi mengikuti segmen Wanita Bangkit yang mengundang usahawan dan Ketua Pegawai Eksekutif Syukor Dagang Sdn Bhd, Syukor Majid selaku pengasas Syukor Burger sebagai panel jemputan.

"Saya hadir ke sini untuk mendengar perkongsian pengalaman dan mengambil inspirasi daripada kejayaan Syukor Majid.

"Di sini, saya dapat kutip ilmu percuma bagi menjana lagi pendapatan sebagai peniaga burger yang bermula sejak Mei lalu. Banyak juga pameran lain diadakan di sini dan saya tidak mahu lepaskan peluang untuk singgah ke gerai lain," katanya yang mempunyai dua anak berumur empat bulan dan empat tahun.

Seorang lagi pengunjung, Ammarah Iszaham, 27, menyambut baik penganjuran Program 100 Hari AKM kerana memberinya peluang untuk menimba ilmu berkaitan keusahawanan secara percuma menerusi segmen Wanita Bangkit.

"Program seperti ini bagus untuk membantu wanita mendapat semula semangat termasuk saya yang sebelum ini diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19 selepas enam tahun mencari rezeki sebagai ejen pelancongan.

"Memang terduduk ketika itu (hilang pekerjaan) dan kini, saya cuba bangkit dengan menjadi menjual burger di tepi jalan dan syukur kerana dapat meraih RM4,000 sebulan," katanya.

Program 100 Hari AKM berlangsung sehingga esok di KLCC dan menyediakan 100 ruang pameran kementerian, agensi dan syarikat swasta selain pelbagai acara menarik menanti pengunjung.

Ia diadakan sebagai tanda genap tempoh 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merujuk gaya kepemimpinan beliau itu dengan slogan Keluarga Malaysia dan meraikan kejayaan semua kementerian yang mencapai sasaran KPI.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 3:52 PM