ORANG ramai tidak melepaskan peluang untuk membayar saman trafik di KLCC, hari ini. FOTO Bernama
ORANG ramai tidak melepaskan peluang untuk membayar saman trafik di KLCC, hari ini. FOTO Bernama
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Sebanyak 287,500 saman bernilai RM13.6 juta dikutip Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari pertama kutipan saman sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (APM).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kutipan itu diterima daripada kaunter PDRM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan kaunter trafik seluruh negara.

Beliau berkata, walaupun sambutan menggalakkan, PDRM akur dengan arahan penutupan kaunter bayaran saman di KLCC oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula petang ini.

"Orang ramai masih boleh membayar saman dengan potongan sehingga 80 peratus sehingga Ahad ini di kaunter trafik di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

"Penutupan kaunter di KLCC disebabkan jumlah pengunjung ramai sehingga menyukarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi," katanya ketika ditemui selepas meninjau Program 100 Hari APM di KLCC, hari ini.

Mazlan berkata, orang ramai masih boleh menggunakan aplikasi Mybayar Saman untuk membayar tunggakan saman secara dalam talian.

Beliau berkata, ada berlaku masalah untuk akses ketika waktu puncak, namun orang ramai diminta bersabar dan terus menggunakan aplikasi itu sebagai alternatif pembayaran.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini dilapor berkata, penutupan kaunter dibuat kerana kegagalan penganjur memantau dan mengawal kemasukan orang ramai ke program berkenaan menyebabkan berlaku kesesakan.

KKM mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada penganjur, Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) kerana gagal mengendalikan majlis itu mengikut SOP ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 9:13 PM