Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) disarankan untuk melanjutkan tempoh pengurangan bayaran saman lalu lintas sempena Hari Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia sehingga Sabtu depan.

Pelanjutan tempoh itu bagi memberi ruang pesalah trafik untuk melakukan semakan dan menjelaskan bayaran sekali gus mengelak keadaan sesak di kaunter.

Seorang pesalah trafik, Mat Diah Daud, 48, dari Kampung Bukit, di sini, berkata dia merayu agar tempoh bayaran dilanjutkan bagi memberi ruang kepada pesalah trafik membuat bayaran saman.

Katanya, pelanjutan tempoh itu perlu berikutan orang ramai terpaksa membuat semakan sebelum membuat pembayaran.

"Kelewatan proses bayaran berlaku apabila orang ramai terpaksa melakukan semakan terlebih dahulu bagi menentukan jumlah saman tertunggak.

"Walaupun polis membuka banyak kuanter bayaran termasuk kuanter khas untuk warga emas, tetapi kesesakan tetap berlaku di ruang semakan saman," katanya yang mula beratur di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini, sejak 7.45 pagi tadi.

Rabu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim dilaporkan berkata, PDRM menawarkan pengurangan saman trafik terpilih sehingga 80 peratus bermula Khamis lalu sehingga esok.

Anggota Polis Trafik melayan seorang warga emas yang hadir untuk menjelaskan bayaran kompaun di Balai Polis Trafik IPD Kuala Terengganu, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Anggota Polis Trafik melayan seorang warga emas yang hadir untuk menjelaskan bayaran kompaun di Balai Polis Trafik IPD Kuala Terengganu, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR

Suri rumah, Normah Abdul Kadir, 29, dari Seberang Takir, di sini, berkata dia juga meminta kerajaan dan PDRM mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh pembayaran saman tertunggak sehingga minggu depan.

"Kita dimaklumkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga bersetuju melanjutkan tempoh tawaran pengurangan kadar kompaun saman 80 peratus sehingga Rabu ini.

"Kita berharap PDRM juga melanjutkan tempoh seperti diumumkan JPJ," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, jumlah kutipan saman diperolehi melalui program pengurangan saman sempena Hari Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia adalah sebanyak RM169,730 sejak kuanter dibuka pada Khamis lalu.

"Orang ramai diminta tidak melepaskan peluang untuk menjelaskan bayaran saman tertunggak yang dikurangkan sebanyak 80 peratus," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 3:28 PM