GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Peningkatan 100 peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membantu meringankan beban penuntut dari golongan M40 (kategori M1) dalam mengharungi cabaran sepanjang pengajian mereka.

Naib Presiden, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Ct Faizah Abdul Rahman berkata, inisiatif berkenaan satu langkah baik dilakukan kerajaan bagi menjaga kepentingan dan memelihara kebajikan penuntut di Malaysia.

Katanya, MPPK menyokong penuh usaha dilakukan kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membantu mengurangkan kos sara hidup mahasiswa di kampus.

"MPPK menyambut baik inisiatif kerajaan menaikkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) golongan M40 daripada 75 peratus kepada 100 peratus.

"Selain itu, pemberian kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN golongan B40 juga akan meringankan lagi beban mahasiswa yang memerlukan bagi menjalani proses pembelajaran lebih kondusif.

"Malah, MPPK juga menyokong pengumuman program Jualan Murah Keluarga Malaysia yang akan diadakan di setiap institut pengajian tinggi (IPT) mulai Oktober bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup dalam kalangan mahasiswa.

"MPPK mengharapkan lebih banyak inisiatif- inisiatif seperti ini dapat diwujudkan membabitkan golongan mahasiswa di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, MPPK berharap inisiatif terbabit sedikit sebanyak akan membantu meringankan beban Siswa Keluarga Malaysia sepanjang tempoh pengajian mereka di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

"MPPK juga percaya kerajaan akan terus komited dalam membela serta terus mendengar hasrat dan denyut nadi mahasiswa selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu terus mendengar suara anak muda yang juga sebahagian daripada Keluarga Malaysia.

"Ia juga membuktikan keprihatinan kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terjaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 1:23 PM